top of page
Writer's pictureMalaya Tribune

UMNO sengaja mahu susahkan rakyat – Mukhriz


ALOR SETAR: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyifatkan UMNO sengaja menyusahkan rakyat jika bercadang untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hujung tahun ini ketika negara diramalkan berlaku bencana banjir.


Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, hak rakyat untuk mengundi sepatutnya dipermudahkan sebagai lambang negara yang mengamalkan prinsip demokrasi.


Beliau berkata, pihaknya percaya UMNO sendiri akan ‘dihukum’ oleh pengundi kelak jika masih berkeras untuk mengadakan PRU15 ketika musim tengkujuh itu.


“Kalau nak buat juga tengah banjir rakyat akan tetap keluar mengundi ramai-ramai untuk hukum UMNO kerana tak fikir nasib rakyat. Kalau nak pilih pilihan raya juga dan ada rakyat terkorban sebab nak pergi mengundi redah banjir kita bagi hilang teruslah UMNO di muka bumi,” katanya dalam kenyataan menerusi media sosialnya, di sini hari ini.


Tambah Mukhriz, urusan mengundi juga sepatutnya dipermudah supaya hak rakyat memilih wakil rakyat berjalan lancar.


“UMNO jangan anggap rakyat bodoh kalau yakin benar boleh menang PRU, jangan buat masa banjir tunggu masa reda bagi tenang dahulu supaya ramai boleh keluar mengundi kita tengok siapa boleh menang,” katanya.

Beliau berkata, strategi UMNO untuk mengadakan PRU15 ketika musim tengkujuh itu semata-mata untuk mengulangi kemenangan mereka dalam siri Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.


“Teorinya kalau tidak ramai (pengundi) keluar masa PRU, penyokong tegar (UMNO) semua keluar mengundi bahawa mereka boleh menang dan tubuh kerajaan.


Benda ini sudah berlaku di Melaka dan Johor tetapi masa itu hampir separuh pengundi tak keluar sebab meluat pada politik dan tak ada pilihan yang mereka boleh atasi BN (Barisan Nasional). Kali ini pula rakyat tak akan keluar sebab banjir macam mana nak keluar mengundi kalau rumah tenggelam? Inikah demokrasi?” Soalnya.


Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November depan yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.


Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan baru-baru ini menegaskan, parti itu yakin PRU15 akan diadakan antara Oktober hingga Disember tahun ini berdasarkan ucapan Perdana Menteri bahawa pembubaran Parlimen akan dibuat sedikit masa lagi.


(Utusan)

Comments


bottom of page