Khidmat Tun Dr Mahathir Mohamad masih diperlukan untuk mentadbir negara dan memulihkan kerosakan yang amat teruk untuk sekurang-kurangnya dua tahun lagi, kata Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
Beliau berkata, dalam keadaan negara yang jatuh dari segenap segi ketika ini khususnya ekonomi dan politik, hanya Dr Mahathir mampu menyelesaikan permasalahan secara efektif.
Katanya, sejarah membuktikan bagaimana Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang menangani krisis ekonomi dunia pada 1986 dan 1997 secara amat berkesan di negara ini.
“Kejatuhan nilai ringgit pada kadar terendah dalam sejarah mata wang membuktikan kedudukan ekonomi negara berada pada paras yang amat membimbangkan.
“Perkhidmatan tokoh negarawan bertaraf dunia ini masih diperlukan kerana minda, visi serta misi beliau masih tajam.
“Biarlah kita manfaatkan kebijaksanaan Dr Mahathir menyelesaikan perjuangan yang belum selesai sementara beliau masih bersama kita,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada 29 September lalu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) menyatakan beliau bersedia menjadi Perdana Menteri untuk kali ketiga jika diminta berbuat demikian sekiranya GTA membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sementara itu, Khairuddin berkata, matlamat perjuangan Dr Mahathir hanyalah untuk menebus maruah bangsa dan negara demi kesejahteraan masa depan keseluruhan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Pengerusi GTA Wilayah Persekutuan itu yakin Ahli Parlimen Langkawi itu mampu memartabatkan semula maruah bangsa serta negara di persada dunia.
“Kita amat memerlukan Malaysia kembali cemerlang sebagai kuasa ‘Harimau Asia’ yang dihormati oleh seluruh negara-negara luar sepertimana dahulu,” ujarnya lagi.
(MalaysiaPost)
Comments