Veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa berlaku perpecahan dalaman yang berterusan di peringkat negeri dan pusat parti itu.
Ahli Parlimen Gua Musang itu dipetik Sinar Online berkata keadaan dulu dan sekarang berbeza kerana pada zaman itu bekas Perdana Menteri, Najib Razak berkuasa selain ada tiga belas parti mendokong kepimpinan UMNO.
“Ahmad Zahid ambil alih, selepas UMNO kalah. Kita kalah bukan saja di peringkat pusat malah di tiap-tiap negeri kecuali Perlis dan Pahang sahaja.
”Ada perpecahan dalam UMNO di negeri-negeri dan di peringkat pusat. Dah tak aman, sampai sekarang tak aman. Ada saja orang nak mencelah tetapi begitulah politik,” katanya.
Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi pada 11 September lalu dilaporkan menegaskan pihaknya akan melakukan pembersihan 'musuh dalaman' gabungan itu dan UMNO.
“Kita tidak mahu ada musang dalam reban ayam. Musang perlu dikeluarkan.
“Kita tidak mahu ada bangkai tikus dalam telaga kita. Telaga yang ada bangkai tikus airnya tidak boleh diminum,” tegas Zahid.
Sementara itu, Tengku Razaleigh yang dikenali sebagai Ku Li juga berkata isu-isu semasa termasuk berkait kes-kes mahkamah yang membabitkan ahli politik UMNO menjejaskan sokongan rakyat terhadap parti itu.
“Sebab itu, kami selalu merayu supaya ada solidariti untuk wujudkan perpaduan dalam kalangan kami yang tak boleh sesiapa pun mencelah.
“Kena bulat, kalau berpecah ataupun seorang dua bawa cerita lain tak kuatlah nak lawan musuh.
“Jangka hayat UMNO bergantung kepada rakyat. Kalau rakyat masih sokong UMNO, UMNO akan terus tegak, kuat, dan berkuasa,” kata Tengku Razaleigh selepas Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Berhad (Bhd) ke-24 (2022) di Hotel Grand River View di Kota Bharu, semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Tengku Razaleigh berkata dia tidak faham maksud BN yang dikatakan bergerak solo kerana terdapat parti komponen lain dalam BN.
“Sebelum ini, BN dikalahkan oleh Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dan ketika itu ada 13 parti komponen dalam BN dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
"Mereka ada pakatan yang membawa kekuatan masing-masing untuk membantu calon-calon bertanding atas satu logo iaitu BN,” katanya.
Selepas PRU14, parti-parti Sarawak dan Sabah serta Gerakan keluar BN, meninggalkan gabungan yang ditubuhkan pada 1973 itu kepada tiga parti teras UMNO, MIC dan MCA.
Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan berulang kali menegaskan pendirian parti itu untuk bergerak solo, khususnya dalam mempertimbangkan kerjasama bersama PAS dan Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang.
Mohamad Hasan pada Ogos lalu berkata BN akan bergerak secara solo untuk memenangi seberapa banyak kerusi di parlimen untuk membentuk kerajaan sendiri pada PRU15.
Bagaimanapun, Mohamad yang juga pengarah pilihan raya BN itu berkata jika keputusan menunjukkan sebaliknya, pihaknya sedia berunding dengan parti lain untuk menubuhkan kerajaan yang mantap dan stabil demi kemakmuran rakyat.
Awal bulan ini, Zahid pula menjelaskan UMNO membuat keputusan untuk bergerak solo kerana tindak-tanduk dan sikap PAS.
"Tak perlu sedu-sedan apabila PAS sendiri sentiasa main selamat dan mandi dalam beberapa kolam," katanya.
(MalaysiaKini)
Commentaires