PETALING JAYA: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menegaskan tiada layanan istimewa diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Najib Razak, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana rasuah.
“Tiada layanan istimewa. Terdapat permintaan oleh Timbalan Pendakwa Raya supaya prosiding ditangguhkan supaya Najib boleh menerima rawatan perubatan yang diperlukan,” katanya menurut Malaysiakini.
Susulan daripada permintaan itu, Najib dipindahkan ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) di Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan fisioterapi.
“Berikutan itu, dia dirujuk ke HKL di mana dia dirawat untuk keadaan kesihatannya dan dia menjalani beberapa ujian.
“Sekarang susulan itu, dia dirujuk ke Hospital Rehabilitasi Cheras kerana rawatan susulan yang memerlukan fisioterapi,” katanya.
Khairy berkata, Najib akan dihantar pulang ke Penjara Kajang sebaik saja pakar berpuas hati dengan keadaannya.
“Saya tidak boleh menjawab bila, kerana itu akan mengganggu proses. Terpulang kepada pakar,” katanya.
Khairy berkata, akses Najib kepada kemudahan perubatan adalah selaras dengan prosedur operasi standard kementerian, di mana layanan sama turut diberikan kepada banduan lain yang memerlukannya.
Hari ini, Jabatan Penjara memaklumkan Najib dihantar ke HRC untuk rawatan dan pemantauan lanjut, sejak Isnin lalu, berdasarkan rujukan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Menurut kenyataan jabatan itu, Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman sebaik sahaja pakar perubatan HRC atau HKL memberikan pelepasan perubatan ke atasnya.
(FMT)
Comments