top of page
Writer's pictureMalaya Tribune

Tiada ‘Kluster Putrajaya, PWTC’ dalam UMNO : Noh Omar


SHAH ALAM : Ketua UMNO Selangor Noh Omar menolak dakwaan wujudnya ‘Kluster Putrajaya’ dan ‘Kluster PWTC’ dalam parti itu seperti didakwa segelintir pihak.


‘Kluster Putrajaya’ merujuk Menteri Kabinet dari UMNO manakala ‘kluster PWTC’ pula membabitkan kelompok pemimpin atasan parti itu.


Noh berkata sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, beliau mengakui berada dalam kedua-dua kumpulan berkenaan.


“Kalau kata Kluster Putrajaya, Kluster PWTC, saya kluster dua-dua. Saya masuk dalam mesyuarat seperti Biro Politik, bila masuk dua-dua, sebenarnya tiada pun Kluster Putrajaya dan Kluster PWTC, matlamat kita sama iaitu Barisan Nasional (BN) mesti menang.

“Ketepikanlah sangkaan buruk-buruk ini, Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob) berjiwa besar dan bakal jadi ‘poster boy’ pada pilihan raya, kalau menang kekal PM,” katanya berucap pada Konvensyen BN Selangor.


Dalam satu kenyataan pada 28 Jun lalu, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan mendedahkan ada pihak menyebarkan dakwaan dengan melabel pemimpin UMNO tertentu sebagai Kluster Putrajaya dan PWTC.


Shahril berkata, mesej tular itu juga mendakwa terdapat pemimpin UMNO yang akan dipecat selain serang-menyerang antara penyokong Perdana Menteri dan Presiden (Zahid Hamidi).

Menyentuh soal pembubaran Parlimen, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata perkara itu bukan mudah untuk diputuskan Perdana Menteri kerana melibatkan pandangan dan persetujuan Jemaah Menteri.


Jelasnya, agak sukar untuk Ismail menentukan tarikh PRU memandangkan kerajaan ketika ini adalah kerajaan campuran membabitkan wakil rakyat BN dan parti lawan.


“Sekiranya prosedur itu tidak diikuti, mungkin boleh dicabar di mahkamah.


“Jadi kita kena yakin PM buat keputusan terbaik dengan kerjasama top 5 (lima pemimpin tertinggi Umno) mungkin boleh dapat tarikh terbaik,” katanya.


(FMT)


Comments


bottom of page