Ketua UMNO Bahagian Arau Datuk Seri Shahidan Kassim menggesa anggota parti di semua peringkat supaya menghentikan pergaduhan antara puak dalam pelbagai platform media sosial yang boleh membawa kepada konflik dan perbalahan yang tidak diingini.
Beliau berkata ahli UMNO sepatutnya menggunakan platform media sosial secara bijak untuk menangkis unsur-unsur negatif dan fitnah daripada kalangan musuh politik.
“Saya bersetuju sepenuhnya dengan seruan Presiden UMNO (Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) supaya ahli parti tidak bergaduh sesama sendiri dalam media sosial, sebaliknya menggunakan platform itu untuk menentang musuh.
“Apa yang kita boleh lihat sekarang ialah perang politik dalam pelbagai platform media sosial, sebagai orang parti kita mesti cukup baik dan pantas untuk menangkis, menentang dan bertindak balas terhadap mana-mana elemen yang berpotensi menjejaskan kekuatan parti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Belia Negara peringkat Labuan di Dewan Konvokesyen Kompleks Ujana kewangan di Labuan hari ini.
Shahidan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata walaupun ‘pergaduhan kecil’ dalaman parti masih wujud, tetapi tidak melibatkan keseluruhan spektrum UMNO.
“Masih ada pertelingkahan dalaman atau perang sesama sendiri dalam media sosial, terutamanya antara ahli di peringkat bawahan dan penyokong, secara rasionalnya pergaduhan seharusnya dengan musuh,” katanya.
Shahidan berkata seruan presiden UMNO perlu didengari oleh semua ahli di semua peringkat demi kepentingan parti pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang, dan beliau optimis PRU15 dapat dilihat sebagai kemunculan UMNO di seluruh negara termasuk di Labuan.
Beliau juga berkata Ismail Sabri menunjukkan prestasi yang baik sepanjang perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri, dan keadaan ekonomi menunjukkan peningkatan.
(Bernama)
Comments