Serangan jantung merupakan ‘pembunuh’ nombor satu di Malaysia dan salah satu daripada sebabnya adalah kekurangan peranti luaran automatik (automated external defibrillators - AED) di bangunan dan fasiliti awam serta swasta di seluruh negara.
AED berfungsi dengan memberikan maklumat kepada orang ramai atau penyelamat, sama ada untuk memberikan arus renjatan serta bantuan kecemasan pernafasan (CPR) kepada mangsa serangan jantung di tempat awam.
Semasa Kursus Infarksi Myokardial Kebangsaan Ke-11 (NAMIC) Oktober tahun lalu, saya mensasar untuk mewajibkan bangunan tertentu di negara kita untuk mempunyai AED bagi sedikit sebanyak mengurangkan risiko kematian akibat serangan jantung.
Alhamdulillah, mesyuarat Jemaah Menteri pagi tadi bersetuju untuk mewajibkan pemasangan AED di fasiliti awam pada 2025 dan ia akan mulakan dengan program yang dinamakan Jaringan MyAED Komuniti di mana 100 AED akan disediakan buat permulaan di seluruh negara oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) dan St. John Ambulans Malaysia (SJAM).
PBSMM dan SJAM juga berperanan melatih ahli serta orang ramai bagi menggunakan AED serta berpotensi untuk melatih ahli-ahli sejak di bangku sekolah lagi supaya lebih ramai orang awam tahu menggunakan alat tersebut, seterusnya berupaya menyelamatkan nyawa mangsa serangan jantung.
Sementara itu, dalam lawatan kerja saya ke ibu pejabat-ibu pejabat SJAM serta PBSMM petang tadi, saya telah menyaksikan termeterainya memorandum persefahaman (MoU) di antara dua badan auksiliari tersebut.
MoU itu akan meningkatkan kerjasama kedua-dua badan dalam program khidmat ambulans, pertolongan cemas, bantuan bencana dan promosi kesihatan bagi menyokong inisiatif KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA untuk usaha penjagaan kesihatan terutama sewaktu kecemasan atau krisis.
Contohnya, untuk Projek Ambulans Hotspots, SJAM dan PBSM akan menambah 15 lokaliti menjadikan pengoperasiannya kepada 20 hotspot di seluruh negara dan kita sasarkan KPI tempoh respons ambulans dalam tempoh 15 hingga 30 minit untuk mengutamakan kes kecemasan dalam radius di bawah 10 kilometer.
(FB Khairy Jamauddin)
ความคิดเห็น