top of page
Writer's pictureMalaya Tribune

Saya masuk UMNO bukan nak jadi calon - Zaid Ibrahim


PETALING JAYA: Zaid Ibrahim mempertahankan penghijrahannya dari satu parti ke parti lain atas sebab prinsip dan bukan untuk jawatan.


Bekas Menteri Undang-Undang itu berkata, perjalanan politiknya menyaksikan beliau kembali ke pangkuan UMNO bulan lalu, selepas dipecat parti itu pada 2008.


Zaid juga menyertai PKR, kemudian menubuhkan parti KITA, sebelum bersama DAP seketika.


Bekas Ahli Parlimen Kota Bharu itu merujuk rekod beliau yang menunjukkan isu kerusi atau jawatan tidak menjadi perkiraan dalam percaturan politiknya.


“Sebenarnya, saya bergerak dari parti ke parti ni pun bukan saya cari jawatan. Saya tak pernah dapat apa-apa jawatan. Saya walaupun berhijrah dari parti ini ke parti ini untuk mencari model yang sesuai untuk negara kita.


“Jadi, saya tak pernah rasa malu tentang hijrah saya ini sebab saya tidak pernah lari daripada pendirian saya,” kata Zaid dalam temu bual eksklusif dengan FMT.

Zaid menyifatkan pengalamannya bersama pelbagai parti politik sebagai berharga dan menjadikan beliau lebih jelas terhadap baik buruk setiap parti yang pernah disertainya.


Mengenai keputusan kembali ke UMNO, katanya, ia dengan niat untuk memulihkan kekuatan parti itu, bukannya untuk menjadi calon pilihan raya umum ke-15 (PRU15).


“Saya merasakan perlu saya membantu UMNO dalam keadaan sekarang ini, yang dikatakan dalam keadaan tidak menentu. Saya masih lagi yakin bahawa kestabilan politik Malaysia bergantung kepada parti Melayu kukuh.


“Saya masuk UMNO bukan nak jadi calon. Kita semua tahu nak jadi calon bukan senang. Saya dah tua dah, dah lama tak berkecimpung dengan ahli-ahli. Malah, saya rasa kalau diberi tawaran pun, jika saya merasakan saya tidak berkemampuan, saya tidak akan terima.”


Beliau bagaimanapun mengambil sikap terbuka dan berkata: “Kalau bertanding ini dirasakan perlu, maka saya bertandinglah, tapi bagi saya, banyak lagi cara kita boleh membantu parti.”


(FMT)

115 views0 comments

Comments


bottom of page