KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) akan menuntut penjelasan pucuk pimpinan tertinggi PAS termasuk Abdul Hadi Awang dan Takiyuddin Hassan berhubung “rundingan gelap” dengan UMNO dalam mesyuarat pimpinan tertinggi gabungan itu malam ini.
Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin berkata, setakat ini beliau hanya mengetahui rundingan PAS-UMNO itu hanya melalui laporan media.
“Kita akan bincang dalam mesyuarat PN malam ini, nanti saya akan minta Presiden PAS atau Setiausaha Agung PAS untuk memberi penjelasan kalau ada perundingan atau perbincangan (antara PAS-UMNO), apakah benar-benar serius dan sejauh mana perkara itu akan berlaku.
“Jadi perkara ini saya akan bangkitkan, sekarang ini saya tak boleh nak komen apa-apa saya dengar dari media sahaja,”katanya kepada media selepas majlis pelancaran buku The Doctor Will See You Now – My Life With Ampikaipakan Kandiah di SJKT Vivekananda, Brickfields.
Muhyiddin turut membangkitkan bagaimana kerjasama UMNO dengan PAS yang menjadi sebahagian rakan komponen dalam PN, boleh berlaku sedangkan UMNO secara tegas menolak kerjasama dengan Bersatu.
“Kita telah banyak kali bincang, saya dengar kenyataan pihak pimpinan UMNO, pertama mereka menolak Bersatu, Perhimpunan Agung Umno (PAU) setahun lepas antara keputusan dibuat sampai hari ini tak berubah menolak Bersatu, sebab itu kalau tolak Bersatu, kita sudah tubuh PN, PAS bersama kita jadi kita nak dapat penjelasan PAS macam mana kita nak menghadapi terutamanya dalam PRU.
“Adakah akan tentang BN, bagi saya memang begitu kerana kita tak mahu kleptrokrasi terus berkuasa dan berleluasa, ia dikaitkan dengan pimpinan BN, apa pun nanti saya akan dapat penjelasan, selepas itu PN akan buat pendirian jelas supaya tak ada keraguan mana-mana hala tuju kita ke depan,” katanya.
Katanya, rakan PN sebaiknya perlu berbincang terlebih dahulu sebelum sebarang rundingan dengan parti luar dibuat supaya gabungan parti komponen tidak dilihat berbeza pendirian.
“Bila mana saya mengadakan rundingan dengan mana-mana pemimpin politik yang pernah saya buat dulu dengan parti-parti lain, saya akan maklum dan dapatkan pandangan (parti gabungan PN) sama ada wajar atau tidak, itu saya lakukan.
“Ini kerana kita tidak mahu dilihat sebuah parti yang mempunyai pelbagai pendirian, tentulah tak baik bagi masa depan PN dan kita nak jelas perkara ini kepada rakyat dan masyarakat umum apa sebenarnya pendirian PN,” katanya.
Sebelum ini FMT melaporkan, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin mendedahkan ‘rundingan gelap’ Muafakat Nasional (MN) antara partinya dan pemimpin tertentu UMNO menyentuh keperluan satu lawan satu di antara mereka dan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, PAS mahu menyedarkan UMNO bahawa musuh sebenar yang perlu dilihat pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) adalah PH dan bukannya Bersatu.
Pendedahan Hashim itu menyusuli kenyataan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan yang mengesahkan perkara tersebut enggan mendedahkan siapa dan di peringkat mana dalam UMNO perbincangan itu berlaku, namun pemimpin terlibat “mempunyai jawatan” dan berkeupayaan “mempengaruhi keputusan” pucuk pimpinan UMNO.
(FMT)
Comments