Ramai ‘tidak sabar’ lihat bekas Presiden Sri Lanka dihukum
- Malaya Tribune
- Sep 6, 2022
- 1 min read

COLOMBO : Presiden Sri Lanka yang meletak jawatan, Gotabaya Rajapaksa, 73, yang pulang ke tanah air selepas tujuh minggu hidup dalam buangan boleh dikenakan tindakan undang-undang selepas bekas pemimpin itu dilucutkan daripada imuniti Perlembagaan.
Rajapaksa pulang ke Colombo pada Jumaat lalu dari Thailand dan diiringi kawalan ketat pasukan keselamatan ke kediaman baharunya.
Sebelum ini, beliau tidak mempunyai kes mahkamah yang belum selesai kerana mendapat perlindungan dari Perlembagaan sebagai Presiden.
Kes rasuah terhadapnya ketika menjadi pegawai tertinggi pertahanan juga ditarik balik sejurus beliau dipilih sebagai Presiden pada 2019.
Namun, Rajapaksa diminta hadir ke Mahkamah Agung pada minggu depan bagi memberi keterangan berhubung kehilangan dua aktivisi politik muda, termasuk dakwaan peranannya dalam pembunuhan editor akhbar terkemuka, Lasantha Wickrematunge pada 2009.

Menurut Peguam, Nuwan Bopage yang mewakili keluarga mangsa, Rajapaksa perlu dikenakan tindakan undang-undang segera berikutan apa yang dilakukannya sehingga menyebabkan Sri Lanka dihimpit krisis kewangan yang teruk.
“Beliau tidak layak hidup bebas seperti tiada apa yang berlaku,” kata Nuwan.
Jelas Peguam itu, kehilangan dua aktivis politik itu berlaku 13 tahun lalu selepas berakhirnya perang saudara di negara ini dan ketika itu, Rajapaksa merupakan pegawai yang berkuasa di Kementerian Pertahanan.
Pada waktu itu, Rajapaksa dituduh menyelia skuad penculikan yang membawa lari suspek pemberontak, wartawan kritikal dan aktivis sehingga ‘hilang dari pandangan’.
Namun, Rajapaksa menafikan penglibatannya sehingga beliau dipilih sebagai Presiden.
(UtusanMalaysia)
Comments