KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membayangkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan dalam masa terdekat.
Tanpa menyebut tarikh sebenar, beliau hanya memaklumkan ‘sedikit lagi, tidak lama lagi’.
“Bila tarikhnya? Saya dan Presiden akan bincang. Sikit lagi, tidak lama lagi.
“Di hadapan pemimpin BN termasuk top 5, kita kena bincang cepat-cepat setelah melihat semangat semua Pemuda BN hari ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) di Stadium Titiwangsa di sini hari ini.
Ucapan itu sekali gus menerima teriakan dan tepukan 10,380 Pemuda BN yang memenuhi dewan tersebut yang menyebut ‘bubar, bubar’ yang merujuk pembubaran Parlimen ke-14.
Namun, Ismail Sabri menjelaskan, paling penting adalah kemenangan BN pada PRU15 kerana tanpanya, parti boleh mengulangi situasi PRU14 di mana tewas di tangan parti pembangkang.
Ismail Sabri menambah, kerajaan mengumumkan pelbagai inisiatif untuk golongan muda dan Pemuda BN harus menerangkan perkara itu khususnya dalam media sosial.
“Jelas di mata saya Pemuda BN telah bangkit semula. Saya percaya tiada sesiapa boleh menyekat kebangkitan Pemuda.
“Saya yakin kalau kita bersetuju untuk bubar Parlimen, kita BN Insya-Allah menang PRU15,” katanya.
(Utusan)
留言