top of page
Writer's pictureMalaya Tribune

PRU15: Nurul Izzah mahu kekal di Permatang Pauh


BAYAN LEPAS: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar secara terbuka menyatakan hasrat untuk kekal bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).


Nurul Izzah berkata, kerusi itu dekat di hatinya dan mahu terus kekal di situ jika diberikan peluang oleh pucuk pimpinan PKR.


”Saya sebutlah, Permatang Pauh, takkan hang (kamu) tak nampak kot,” katanya sewaktu ditanya pemberita berkenaan kerusi yang bakal ditandingi pada PRU-15 ketika ditemui selepas sesi bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di sini hari ini.


Untuk rekod, kerusi Parlimen Permatang Pauh dimenangi Nurul Izzah pada PRU14 dan kerusi berkenaan sinonim dengan keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Anwar sendiri sudah enam kali menjadi ahli parlimen kawasan itu sama ada menerusi pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya kecil (PRK) bermula 1982 sehingga 2013.

Kerusi itu juga pernah diwakili isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebanyak empat kali bermula PRU 1999 dan terakhir pada PRK 2015.


Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata, semua keputusan sama ada beliau kekal bertanding di Parlimen Permatang Pauh atau tidak bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan parti berkenaan.


”Saya bukan pemutus kata, di hati ini teringin tetapi sebagai salah seorang askar dalam parti kita berharap tidak digugurkan daripada menjadi calon dan kedua diberikan kerusi sebagai mana dipohon di hati.


”Tapi, saya serahkan kepada pimpinan kerana kita nak tawarkan diri untuk menjalankan tugas dan amanah, ia bukan sesuatu yang dapat kita pegang untuk selamanya,” katanya.


Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) parti itu di tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perlis berkata, pihaknya akan cuba menyelesaikan secepat mungkin soal calon-calon PRU-15 bagi PKR sebelum Oktober ini.


”Kita ada tetapkan tarikh akhir 20 September ini, kita akan ada mesyuarat dengan pimpinan Pakatan Harapan (PH) negeri.


“Kita akan cuba selesaikan secepat mungkin (calon dan kerusi) sebelum tiba bulan Oktober kerana kami semua akan jadi ‘mangsa’ tarikh pilihan raya yang akan ditetapkan oleh Perdana Menteri,” katanya.


(Utusan)

Comments


bottom of page