Pakatan Harapan terdiri daripada parti-parti yang mendukung ideologi "kiri" berasaskan sosialisme dan oleh itu tidak sesuai untuk Malaysia, kata Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan.
Berucap semasa merasmikan taklimat tertutup jentera pilihan raya Bersatu Lembah Pantai, di Kuala Lumpur semalam. bekas penyelidik dan ketua badan pemikir Ideas itu berkata ciri-ciri sedemikian jelas dipamerkan oleh DAP dan PKR.
“DAP hingga hari ini perkaderannya mesti melalui DAP Socialist Youth.
“Agenda kiri yang mereka bawa amat tidak sesuai untuk negara kita yang diasaskan oleh Tunku Abdul Rahman dengan prinsip kebebasan dan keadilan sebagai terasnya,” kata Wan Saiful.
Menurut portal Berita Bersatu, Wan Saiful berkata ini membuka ruang untuk Bersatu untuk memposisikan parti itu sebagai parti pertengahan kanan (centre right) iaitu ekonomi berteraskan perdagangan dan perniagaan.
"Sosiopolitik berteraskan konservatisme yang berpegang dengan agama dan adat tatasusila kita sebagai orang Timur.
“Dan penjagaan kebajikan rakyat berdasarkan semangat kekeluargaan dan kemakmuran yang dikongsi bersama oleh warga pelbagai kaum dan agama," katanya.
Mengenai UMNO, Wan Saiful berkata, ia sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan peribadi semata-mata dengan fokus mereka masih lagi merompak harta rakyat.
“Ini disebut jelas oleh (Presiden UMNO) Zahid Hamidi apabila dia menggesa supaya orang UMNO ambil mana-mana yang sempat semasa ada kuasa.
“Mentaliti rasuah dan kleptokrasi mengakar kukuh dalam UMNO,” katanya.
Wan Saiful merujuk ucapan mengenai "gula" yang dirujuk oleh Zahid pada konvensyen BN Selangor pada 31 Julai.
(MalaysiaKini)
Comments