Selepas tular surat yang meminta hakim mempercepatkan keputusan perbicaraan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dalam kes penyelewengan dana Yayasan Akalbudi, pihak pendakwaan hari ini menarik balik surat yang dihantar kepada hakim Mahkamah Tinggi.
Surat berkenaan meminta supaya kes dihadapi Ahmad Zahid diberi keutamaan berbanding kes penyelewengan dana 1MDB Najib Razak.
Pada prosiding perbicaraan kes itu hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob memaklumkan kepada mahkamah bahawa perkara itu kini selesai dengan mengambil kira penarikan balik surat berkenaan.
"Oleh itu, tiada permohonan sedemikian di hadapan mahkamah ini. Kita teruskan dengan perbicaraan ini," katanya ketika prosiding seperti dilaporkan BH Online.
Ia disusuli dengan kenyataan Hakim Collin Lawrence Sequerah yang berkata tiada siapa pun boleh menentukan kes apa yang perlu diberi keutamaan di mahkamah.
Sementara itu, peguam Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik berkata surat itu boleh ditafsirkan sebagai memberi tekanan kepada mahkamah.
"Kami berharap perbicaraan ini akan dijalankan mengikut kedaulatan undang-undang," katanya.
Semalam tular surat yang didakwa dihantar pihak pembelaan kepada hakim bagi mempercepatkan perbicaraan dihadapi Presiden UMNO itu.
Dalam satu surat yang dihantar Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob kepada Setiausaha Hakim Collin Lawrence Sequerah itu pihak pendakwaan meminta kes Ahmad Zahid diutamakan melebihi kes 1MDB.
Menurut surat yang ditandatangi Abdul Malik bertarikh 29 Ogos itu, dia meminta supaya kes yang berada di peringkat pembelaan itu diselesaikan dengan kadar segera.
(MalaysiaKini)
Comments