top of page
Writer's pictureMalaya Tribune

Pembangkang desak kerajaan perjelas laporan Meta, kait polis dengan ‘troll farm’


PETALING JAYA : Pemimpin pembangkang mendesak kerajaan memberikan penjelasan berhubung laporan Meta yang mengaitkan polis dengan usaha memanipulasi perbincangan awam melalui “troll farm”.


Desakan itu dibuat susulan pendedahan laporan Quarterly Adversarial Threat Report oleh Meta, syarikat induk bagi Facebook yang melaporkan pihaknya memadam ratusan akaun, kumpulan dan halaman yang merupakan sebahagian daripada “troll farm” yang menyasarkan pengguna media sosial di negara ini.


Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dan Pengerusi Biro Media Sosial DAP Syahredzan Johan masing-masing menuntut kerajaan memberikan penjelasan mengenai pendedahan itu.


“Ini adalah satu dakwaan yang berat daripada syarikat teknologi gergasi antarabangsa, maka pihak polis perlu nafikan dakwaan ini kerana sudah pastinya dakwaan ini adalah tidak benar.


“Andai dakwaan ini benar, dari mana datangnya bajet selain adakah sebarang wang pembayar cukai digunakan dan diluluskan di Parlimen?” soal Fahmi.

Syahredzan dalam kenyataannya turut mempersoalkan sama ada dana awam digunakan dalam aktiviti tersebut.


“Sekiranya benar, ia mendedahkan suatu usaha bersepadu untuk memanipulasi perbincangan awam dengan menggunakan akaun-akaun dan laman-laman palsu bagi manfaat politik pihak kerajaan,” katanya.


Pemimpin DAP itu turut mengandaikan wujudnya kegiatan sama dijalankan di platform media sosial lain.


Laporan Quarterly Adversarial Threat Report oleh Meta hari ini mendedahkan 596 akaun Facebook, 180 page Facebook, 11 kumpulan Facebook (groups) and 72 akaun Instagram yang merupakan sebahagian daripada sebuah “troll farm” yang ditujukan kepada pengguna media sosial dalam negara dikaitkan dengan polis.


(FMT)

16 views0 comments

Comments


bottom of page