top of page
Writer's pictureMalaya Tribune

Laporan: PN timbang tarik balik sokongan pada Ismail Sabri


Perikatan Nasional (PN) sedang menimbang untuk menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, menurut laporan The Star.


Laporan itu mendakwa ia kerana Ismail Sabri tidak menunaikan apa yang dikatakan sebagai perjanjian untuk melantik Ahli Parlimen Bersatu sebagai Timbalan Perdana Menteri.


Ismail Sabri dilaporkan dijadual bertemu delegasi PN semalam berhubung perjanjian itu. Namun ia dibatalkan di saat akhir.


Delegasi PN merangkumi Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Azmin Ali, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar.


Menurut laporan itu lagi, mesyuarat MPT Bersatu pada Selasa lalu "secara umumnya setuju" yang sokongan terhadap Ismail Sabri perlu ditarik jika dia tidak boleh dirunding agar menunaikan persetujuan yang telah dicapai.


Selain berkenaan perjanjian itu, laporan itu turut membayangkan para pemimpin Bersatu tidak gembira dengan aspek lain kepimpinan Ismail Sabri.


Laporan itu turut memetik Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu sebagai berkata, Kerajaan Persekutuan telah menyekat dana kepada ahli politik Bersatu.

"Ini tidak adil. Mereka cuba jejaskan pengaruh kami di lapangan. Tetapi ia menjejaskan rakyat," katanya yang juga Menteri Belia dan Sukan.


Laporan itu juga mendakwa beberapa tokoh dalam Bersatu kecewa mereka disingkirkan daripada jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dipegang sebelum ini.

Namun menurut laporan itu lagi, Azmin tidak bersetuju dan keluar daripada kumpulan WhatsApp kepimpinan Bersatu selepas mesyuarat.


Azmin memberitahu The Star yang Bersatu perlu terus komited dalam kerajaan Ismail Sabri kerana ia di landasan yang betul.


(MalaysiaKini)

Comments


bottom of page