top of page
Writer's pictureMalaya Tribune

Kit Siang: Mengapa Zaid berubah fikiran tentang Najib?


Ahli Parlimen veteran Lim Kit Siang mengakui dirinya terkejut dengan pemikiran baharu peguam terkenal, Zaid Ibrahim tentang Najib Razak.


Dalam satu kenyataan hari ini, Lim berkata tidak terlintas di fikirannya bahawa Zaid mengumumkan secara terbuka bahawa dia "yakin" Najib tidak bersalah dalam urusan 1MDB.


“Kini saya yakin yang Najib ditipu. Bukan sahaja oleh Jho Low tetapi juga oleh pegawainya. Dia dikelirukan oleh pegawai-pegawainya dalam 1MDB dan ditipu oleh Goldman Sachs dan Aabar Investments di Abu Dhabi.


“Jadi kerugian berbillion ringgit ini, pada pendapat saya, bukanlah kerana salah Najib, atau dalam kata lain, dia bukanlah yang merancangnya.” kata Zaid dalam video yang dimuat naik di laman Facebook.


Lim berkata perubahan pendirian Zaid, terutamanya selepas penerbitan lebih daripada 100 muka surat penghakiman oleh Hakim Azimah Omar dalam kes saman bekas Peguam Negara, Mohamad Apandi terhadap dirinya adalah mengejutkan.


Penghakiman itu menimbulkan keraguan terhadap kebenaran tentang penjelasan Najib bahawa dia menerima sumbangan "derma" RM2.6 bilion daripada Arab Saudi.


Sebagai peguam negara, Apandi menerima penjelasan Najib pada 2016 dan memutuskan untuk tidak mengemukakan sebarang pertuduhan. Najib akhirnya didakwa pada 2018 atas pertuduhan menyelewengkan dana RM2.6 bilion daripada 1MDB milik kerajaan.

Bagi Lim, dia tertanya-tanya bagaimana Zaid boleh berubah fikiran selepas membaca penghakiman Azimah.


“Atau adakah dia belum membaca penghakiman ini?” soal Lim.


Pada Selasa lalu, Najib memaklumkan Mahkamah Persekutuan bahawa dia telah menggugurkan firma guaman Muhammad Shafee Abdullah bagi mewakilinya dan sebaliknya telah melantik Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners sebagai peguambela yang baru.


Zaid pernah menjadi ahli UMNO yang kemudiannya menyertai PKR dan seterusnya menyertai DAP. Dia meninggalkan DAP pada Mei 2020.

Comments


bottom of page