Semasa saya di universiti lebih kurang 25 tahun lalu di England, saya pernah buat pinjaman komputer berjumlah GBP1,000 pound sterling (atau RM6,000).
Kursus kejuruteraan yang saya ambil pada ketika itu amat memerlukan sebiji komputer untuk saya mengulangkaji di luar makmal di mana komputer kongsi adalah terhad.
Pada ketika itu harga komputer amat mahal, dan oleh kerana saya datang dari keluarga B40 saya tidak mampu untuk beli komputer.
Jumlah biasiswa dan pendapatan dari kerja sambilan yang saya buat pun tidak cukup untuk tampung beli komputer.
Namun pihak universiti dan pihak penaja saya (TNB) amat prihatin.
TNB telah beri saya pinjaman komputer dengan syarat jika saya dapat ijazah kelas pertama saya tidak perlu bayar balik pinjaman tersebut.
Dan pihak universiti menawarkan anugerah geran GBP1,000 pound sterling untuk pelajar tahun pertama yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan akhir tahun.
Dengan komputer yang dibeli daripada pinjaman tersebut, saya telah belajar bersungguh-sungguh dan pada akhir tahun pertama, saya mendapat keputusan cemerlang dan pihak universiti telah beri saya anugerah geran sebanyak GBP1,000 pound sterling.
Saya bercadang untuk guna duit anugerah itu untuk membayar balik pinjaman komputer saya, dan oleh kerana saya suka kaji sejarah, duit selebihnya iaitu daripada wang terkumpul dari kerja sambilan saya, saya berhajat untuk gunakan untuk pergi mengembara ke tempat-tempat bersejarah di Eropah dan Mesir pada musim cuti.
Namun selepas tahun pertama saya di universiti iaitu pada tahun 1997, keadaan ekonomi di Malaysia amat teruk akibat krisis kewangan negara dan ramai orang hilang kerja, keluarga saya di Malaysia pun amat terkesan sama.
Oleh kerana itu saya terpaksa tangguh untuk bayar balik pinjaman komputer saya dan batalkan hasrat untuk mengembara, sebaliknya saya telah buat keputusan untuk menghantar duit ke Malaysia untuk membantu keluarga saya, mereka lebih memerlukan wang pada ketika itu.
Pada tahun akhir iaitu tahun 1999, keadaan ekonomi di Malaysia masih teruk dan saya tahu apabila saya balik ke Malaysia kelak agak sukar untuk saya dapat kerja dan penaja saya pun tidak ambil pekerja baru.
Saya tahu untuk kumpul duit untuk bayar balik pinjaman RM6,000 pada ketika itu adalah amat sukar.
Oleh itu saya telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat keputusan ijazah kelas pertama, saya harap dengan ini pinjaman tersebut akan ditukar sebagai biasiswa dan tidak perlu dibayar.
Alhamdulillah pada tahun akhir saya berjaya menamatkan pengajian dengan ijazah kelas pertama daripada antara universiti yang terbaik di UK dan di dunia, dan dengan keputusan itu saya tidak perlu bayar balik pinjaman komputer tersebut.
Saya ingin ucap terima kasih kepada pihak penaja saya (TNB) dan pihak universiti (University of Bristol) kerana telah berikan galakkan dan dorongan kepada saya pada ketika itu walaupun saya datang dari keluarga B40 yang berpendapatan rendah.
Ramai orang dari keluarga berpendapatan rendah dan B40 seperti saya dahulu tahu akan kepentingan pelajaran kerana dengan pelajaran sahaja kita berkemungkinan keluar dari kepompong kemiskinan dan kesukaran hidup.
Tidak ada orang yang mahu hidup susah selamanya.
Saya harap lebih banyak lagi pihak penaja dan universiti akan bantu orang-orang B40 dan miskin untuk berjaya dalam pengajian mereka.
(FB Isham Jalil)
Comments