top of page
Writer's pictureMalaya Tribune

Khalid Ibrahim meninggal dunia


Mantan Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim meninggal dunia malam tadi pada jam 11.08 malam di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.


Allahyarham yang berumur 76 tahun menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan tenang disaksikan seluruh ahli keluarga menurut hantaran di laman Facebook rasmi miliknya.


Allahyarham meninggalkan seorang isteri, empat orang anak dan dua orang cucu.


Pada 23 April yang lalu, Allahyarham dimasukkan ke hospital akibat jangkitan pada injap jantung.


Jenazah Allahyarham akan dimandi, dikafan dan disembahyangkan di Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara.


"Sejurus usai di Masjid Umar Al Khattab jenazah akan dibawa ke Masjid Negeri Shah Alam bagi memberi peluang kepada rakyat di Selangor yang mahu memberikan penghormatan terakhir dan melakukan solat jenazah.


"Atas titah dan limpah kurnia DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Al-Haj jenazah akan disemadikan di Makam Di Raja Shah Alam.


"Marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah SWT khusus buat Allahyarham semoga Allah SWT memperkenan doa kita," menurut hantaran di Facebook rasmi Khalid Ibrahim.


Khalid merupakan figura penting dalam kejadian "Dawn Raid" Bursa Saham London bagi membolehkan Malaysia memegang saham majoriti dalam ladang Guthrie milik British pada tahun 1981.


Allahyarham merupakan mantan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad.

Comments


bottom of page