PETALING JAYA: Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan pendiriannya mengenai badan kehakiman berikutan keputusan mahkamah membebaskan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi daripada semua tuduhan dalam kes sistem visa luar negara (VLN).
Ahli Parlimen Muar itu berkata, sebagai penggubal dasar, penting untuk tidak hilang keyakinan terhadap badan kehakiman.
“Sama seperti pendirian saya sebelum ini, jika kita meletakkan kepercayaan pada badan kehakiman dalam sabitan-sabitan sebelum ini, kita juga harus percaya kepada badan kehakiman dalam hal pembebasan,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam MUDA malam tadi.
Beliau berkata, Peguam Negara masih boleh merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Zahid daripada 40 tuduhan menerima rasuah daripada syarikat yang dikontrak untuk mengendalikan sistem VLN.
Syed Saddiq sendiri sedang dibicarakan atas empat tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram. Beliau didakwa menyeleweng sejumlah RM1.12 juta milik bekas partinya, Bersatu.
(FMT)
Comments