top of page
Writer's pictureMalaya Tribune

Kertas siasatan pendakwah bebas rogol remaja dirujuk TPR esok


PUTRAJAYA: Kertas siasatan pendakwah bebas bergelar ustaz yang disyaki merogol remaja perempuan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) esok untuk tindakan selanjutnya.


Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya percaya siasatan dapat dilengkapkan esok sebelum dirujuk biarpun ada sedikit perkara yang perlu diselesaikan.


“Setakat hari ini, siasatan yang kita jalankan masih belum lengkap. Sedikit lagi kenyataan yang perlu kita kumpul dalam kes ini.


“Sama ada sambung reman atau tidak masih bergantung sepenuhnya kepada keputusan TPR selepas meneliti kertas siasatan yang akan dihantar esok.


“Jadi kita tunggu apa keputusan timbalan pendakwa raya. Jika boleh dituduh kita akan tuduh suspek esok,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup Latihan Dalam Perkhidmatan, Pengenalan dan Pengendalian Bot Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Katanya, kertas siasatan yang akan dirujuk esok adalah berdasarkan laporan polis yang diterima dari mangsa rogol di Kuala Lumpur.


Sebelum ini, suspek berusia 30an itu direman Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur selama empat hari sejak Ahad hingga esok bagi membantu siasatan polis.


Suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada 18 Julai lalu kerana didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.


Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.


(Utusan)

4 views0 comments

תגובות


bottom of page