top of page
Writer's pictureMalaya Tribune

Kerajaan tak berhati perut kalau buat PRU semasa banjir - Salehuddin


Timbalan Presiden Amanah, Salehuddin Ayub menyifatkan hasrat UMNO untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun banjir melanda negara, sebagai tidak berhati perut terhadap rakyat.


Katanya, cadangan itu disuarakan tanpa mengambi kira kesusahan rakyat yang terpaksa berdepan kemusnahan harta benda akibat banjir.


“Kalau dia buat macam tu harap rakyat dapat tolaklah mereka, tak kesian dan simpati langsung kepada rakyat.


“Janganlah umum macam tu sebagai kerajaan, masa banjir pun nak buat (PRU),” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen Amanah di Hotel Klana Resort di Seremban, Negeri Sembilan hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN berkata gabungan parti itu sedia meredah banjir mahupun hujan lebat untuk berkempen jika PRU15 diadakan tahun ini.


Mengulas lanjut, Salehuddin berkata Perdana Menteri sepatutnya mengambil kesempatan pada masa ini untuk menstabilkan kerajaan sedia ada.


Dia turut mencadangkan supaya PRU15 diadakan pada waktu yang lebih sesuai seperti selepas Tahun Baru Cina pada tahun depan.


“Barulah nampak dia ada hati perut dan rasionalnya.


“Kalau dia buat juga musim banjir ni memang kerajaan tak ada hati perut,” katanya.

Sementara itu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu pula meminta kerajaan melihat daripada aspek keselesaan rakyat dalam melaksanakan tanggungjawab mereka pada pilihan raya nanti.


“Mereka ada masa sehingga bulan Julai tahun depan. Kenapa nak terburu-buru?


“Berilah keselesaan kepada rakyat. Kalau musim banjir memang susah semua pihak,” katanya.


Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memberi peringatan sekiranya PRU ke-15 dilaksanakan pada pertengahan November, kemungkinan bakal berdepan banjir besar kerana angin monsun timur laut aktif ketika itu.


(MalaysiaKini)

2 views0 comments

Comments


bottom of page