top of page
Writer's pictureMalaya Tribune

Jasa arwah Khalid akan terus dikenang penduduk Lembah Klang - Najib


Mantan Perdana Menteri Najib Razak hari ini mengimbau kembali langkah berani arwah Tan Sri Khalid Ibrahim menyelesaikan masalah air di Lembah Klang tidak lama dahulu.


Dalam hantaran Facebooknya beliau berkata, arwah Tan Sri Khalid perlu diberi kredit sepenuhnya apabila Lembah Klang tidak lagi mengalami catuan air bagi tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.


"Pada bulan Februari 2014, arwah dengan beraninya telah menandatangi MOU penstrukturan semula air Selangor dengan kerajaan pusat dan meluluskan Loji Penapisan Air Langat 2 biarpun rakan-rakannya dalam Pakatan membantah kerana berdegil dan melawan atas sebab politik bahawa Projek-Projek Langat 2 dan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PAMPS) tidak diperlukan."

"MOU air ini yang dijadikan alasan permulaan oleh Pakatan bagi langkah mereka singkirkan arwah sebagai Menteri Besar Selangor dan untuk pecat arwah dari parti beberapa bulan kemudian."


"Namun, MOU air dan projek-projek tersebut tetap diteruskan dan dinanti-nantikan oleh kerajaan Selangor selepas arwah dipecat sebagai MB Selangor - bukti bahawa keputusan arwah untuk mengetepikan politik sempit demi kelangsungan hidup penduduk Lembah Klang adalah sangat tepat." tambah Najib lagi.


Secara peribadi Najib amat bersedih dengan pemergian Tan Sri Khalid Ibrahim dan tidak akan melupakan langkah berani arwah Khalid.


"Saya mohon semua untuk sedekahkan doa buat Allahyarham." ujar beliau lagi.


Abdul Khalid menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur pada usia 76 tahun disaksikan seluruh ahli keluarganya.

Comments


bottom of page