Seorang lelaki direman enam hari sehingga 28 Mac bagi membantu siasatan berhubung tindakannya memuat naik hantaran berunsur penghinaan dan tidak beradab terhadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Perintah reman dikeluarkan terhadap suspek berusia 31 tahun, yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan. selepas dia dibawa ke Kompleks Mahkamah Kangar sekitar jam 3.45 petang diiringi anggota polis bertugas.
Suspek ditahan sepasukan anggota polis pada jam 10 malam semalam di kediamannya di Bukit Mas, Tanah Merah, Kelantan.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek itu.
"Kita turut merampas sebuah telefon bimbit jenis Oppo A9 warna biru bersama dua sim kad yang terdapat dalam telefon bimbit berkenaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.
Semalam, bekas EXCO Perlis, Datuk Ahmad Bakri Ali, membuat laporan polis berhubung tindakan suspek yang menggunakan nama 'Basri Shah', memuat naik hantaran berunsur penghinaan dan tidak beradab menerusi laman Facebook terhadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Mohd Asri.
Beliau berkata, tindakan lelaki berkenaan dilihat sengaja mahu memperlekehkan, menjatuhkan maruah serta memalukan Raja Perlis dan Jabatan Mufti Negeri Perlis.
Ahmad Bakri dan Persatuan Kebajikan Islam serta Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) Negeri Perlis membuat laporan itu pada jam 3.17 petang di Balai Polis Kangar.
(Berita Harian)
Comments