top of page
Writer's pictureMalaya Tribune

Hina Islam & Rasulullah, penghantar makanan didenda RM50,000


SEPANG: Seorang penghantar makanan didenda RM50,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik yang menghina umat dan agama Islam serta Rasulullah SAW melalui laman sosial YouTube pada minggu lalu.


Mohd Nor' Muzil Mohd Razalli, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil.


Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.


Ahmad Rizki berkata, mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas tertuduh kerana kesalahannya membabitkan sensitiviti agama.


Beliau menegaskan, sebagai umat Islam, tertuduh perlu insaf atas kesalahan dan bertaubat atas apa yang dilakukannya itu.


"Kesalahan ini adalah serius kerana membabitkan sensitiviti agama serta menggugat keharmonian masyarakat di Malaysia, dan hantaran video itu ditonton di seluruh dunia," katanya.


Tertuduh didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi YouTube untuk mempersenda serta menghina umat dan agama Islam serta Nabi Muhammad SAW, iaitu secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, yang dilihat jam 11.15 malam 16 Julai lalu di Sepang.


Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum bawah Subseksyen 233 (3) akta sama.


Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.


Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Raya, Noor Azizah Aling, manakala tertuduh tiada diwakili peguam.


Terdahulu, Noor Azizah memohon mahkamah agar mengenakan hukuman berat ke atas tertuduh kerana perbuatannya itu mengundang kemarahan orang ramai dan jika diabaikan, boleh menggugat keamanan negara.


Beliau berkata, ia juga supaya tertuduh tidak mengulangi perbuatan sama itu, selain menjadi pengajaran dan menghalang pihak lain daripada melakukan perkara sedemikian pada masa depan.


"Masyarakat mengambil serius isu ini, dan lebih 20 laporan polis diterima di seluruh negara," katanya.


Terdahulu, tertuduh yang berbaju T dan berseluar denim biru tiba di mahkamah pada jam 9 pagi dengan diiringi anggota polis dari lokap Dang Wangi, Kuala Lumpur.


Sebelum ini, tular satu rakaman video berdurasi 35 saat melalui media sosial yang menunjukkan seorang lelaki didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur penghinaan terhadap umat dan agama Islam serta Nabi Muhammad SAW.


(Berita Harian)

4 views0 comments

Commentaires


bottom of page