top of page
Writer's pictureMalaya Tribune

Hentikan gejala kafir-mengkafir - Anwar


Gejala kafir-mengkafir antara pemimpin politik adalah naratif yang merosakkan serta wajar dihentikan, tegas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, seharusnya tumpuan lebih diberikan kepada isu dasar negara bagi membantu meringankan beban rakyat.

Katanya, selain itu para pemimpin dan pemuka Islam perlu lebih agresif dalam menyerang idea dan pemikiran yang cenderung ke arah takfir.

“Islam tidak akan tertegak dengan sikap takfir yang jelek dan merosakkan.

Sebaliknya agama ini akan tertegak dengan hujah dan pemikiran yang kritis dan terbuka,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Sebelum ini, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa PAS kini adalah parti kafir berikutan tindakannya bekerjasama dengan UMNO dan parti bukan Islam demi memperoleh kedudukan.

Katanya, hingga kini PAS tidak pernah menarik balik dakwaan dibuat suatu ketika dulu, bahawa orang yang tidak bersama parti itu adalah kafir, maka dengan tindakan kerjasama terbabit, ia menggambarkan bahawa mereka bukan lagi parti Islam.

Pada April 1981, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang melalui Amanat Haji Hadi didakwa mengkafirkan Umno sehingga menyebabkan orang Melayu ketika itu berpecah-belah.

Bagaimanapun pada 2019, Pas telah menjalinkan kerjasama dengan UMNO di bawah gagasan Muafakat Nasional (MN).

(MalaysiaPost)

Comments


bottom of page