SEREMBAN - Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menganggap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempunyai masalah pemikiran apabila sewenang-wenangnya melabelkan gabungan itu sebagai kumpulan yang tidak beriman dan tak bermoral.
Menurutnya, tidak pelik jika kenyataan Abdul Hadi akan berubah setiap minggu.
"Tak perlulah kita ulas panjang kerana Presiden PAS itu akan berubah setiap minggu. Minggu depan kita tidak tahu pula pandangan dia.
"Saya rasa dia hadapi masalah dalaman pemikiran. Saya tak mahu mengulas panjang soal dia, tapi saya bersimpati dengannya," katanya ketika sidang akhbar selepas hadir merasmikan Konvensyen Amanah 2022 di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
Mohamad turut bersetuju dengan kenyataan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan Pas adalah parti kafir berikutan tindakannya bekerjasama dengan UMNO.
Ini kerana jelasnya, PAS selama ini yang melabelkan UMNO kafir dan sekarang beria-ria mahu bekerjasama dengan UMNO.
Media sebelum ini melaporkan Abdul Hadi berkata, ramai dalam kalangan Pakatan Harapan(PH) yang tidak beriman dan tidak bermoral yang mana secara terbuka mengumpulkan kumpulan pemberi rasuah dan penerima rasuah.
(Sinar)
Comments