PETALING JAYA: Guru-guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di Selangor yang enggan mengambil vaksin Covid-19 akan digantung tugas selama dua bulan, kata Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohd Shahzihan Ahmad.
Beliau berkata, perkhidmatan guru-guru itu turut boleh ditamatkan serta-merta jika mereka masih tidak melengkapkan vaksinasi Covid-19 sepanjang tempoh penggantungan tersebut.
Tambahnya, tindakan ini diambil berpandukan ketetapan yang dibuat pihaknya berdasarkan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang mengingatkan perkara sama kepada para pegawai masjid dan jurunikah.
“Ini isu lama berkenaan titah baginda yang mengarahkan guru-guru KAFA wajib ambil vaksin. JAIS juga ada keluarkan pekeliling, semua peluang kita beri,” katanya, menurut laporan Sinar Harian.
“Tapi mereka tidak mahu ikut, maka mereka digantung tugas selama dua bulan.”
Tempoh penggantungan tersebut, katanya, adalah peluang yang diberikan kepada guru-guru KAFA terbabit untuk melengkapkan vaksinasi Covid-19.
Terdapat segelintir pihak yang enggan mematuhi ketetapan di peringkat negeri Selangor dan hanya mengikuti arahan daripada kerajaan persekutuan, tambahnya.
“Jadi, ini tidak bagus sebab mungkin JAIS sudah terlalu berlembut tentang perkara ini,” katanya.
“Kita boleh gantung (tugas guru KAFA) lebih lama, tapi kita tidak mahu kerana ia beri kesan kepada proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).”
Tahun lepas, dilaporkan seramai 130 guru KAFA di Selangor dipanggil kerajaan negeri untuk sesi penerangan kali kedua susulan keengganan mereka menerima vaksin Covid-19 menerusi sesi khas dianjurkan JAIS pada September.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, sesi penerangan itu membabitkan pakar kesihatan, agamawan dan mufti bagi memberi maklumat tepat berhubung pengambilan vaksin.
(FMT)
Comments