top of page
Writer's pictureMalaya Tribune

GTA, Pejuang lemah & tak wibawa. Join PN baru ada impak - Pemimpin Bersatu


PETALING JAYA: Pengaruh Gerakan Tanah Air (GTA) lebih besar sekiranya gabungan itu “bergabung” dalam Perikatan Nasional (PN) yang komponennya ditunjangi parti dominan Melayu dikenali, kata Ketua Penerangan Bersatu Kedah Khairul Anuar Ramli.


Katanya, GTA dilihat tidak mampu memberi impak untuk melakukan perubahan kerana hanya menggabungkan parti minoriti yang “tidak popular”.


Beliau berkata, ia bukan sekadar andaian secara relatif, sebaliknya rumusan berkenaan dicapai berdasarkan realiti yang berlaku pada beberapa siri pilihan raya negeri (PRN), sebelum ini.


“Gabungan GTA kalangan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) juga merupakan parti yang kurang popular dan tidak dikenali umum.


“Ini ditambah pula dengan usia Pejuang yang masih terlalu muda dan kecil pengaruhnya yang mana dalam PRN Johor baru-baru ini, kita dapat lihat buktinya apabila semua calon hilang deposit begitu sahaja,” katanya menurut Sinar Harian.


Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad melancarkan GTA pada Khamis, terdiri daripada parti politik, NGO, ahli profesional dan akademik.

Mahathir yang juga pengerusi penaja GTA mengumumkan gabungan itu akan mempertaruhkan calonnya di 120 kerusi Parlimen pada PRU15 bagi menentang Umno dan kesemua kerusi tersebut diletakkan di kawasan majoriti Melayu di Semenanjung.


Dalam pada itu, Khairul Anuar yang juga ketua bahagian Bersatu Padang Serai, berkata pada pandangan umum, Pejuang masih lemah dan tidak berwibawa untuk mengetuai gabungan GTA dalam menarik sokongan pengundi Melayu.


“Persepsi awal pengundi dalam konteks PRN Johor menyaksikan Pejuang dilihat kurang diberi perhatian kerana perjuangan yang sama dengan parti lain walaupun diketuai oleh seorang negarawan.


“Sebagai seorang negarawan ulung, Dr Mahathir harus faham masalah peribadi perlu diketepikan, utama matlamat terhadap rakyat dan negara,” katanya.


Khairul Anuar bagaimanapun menyambut baik hasrat negarawan itu mahu menubuhkan gabungan parti baharu, walaupun matlamat GTA adalah serupa dengan gabungan PN yang menentang rasuah dan salah guna kuasa, khususnya kalangan pimpinan Umno.


(FMT)

Comments


bottom of page