Gerakan Tanah Air (GTA) yang menjadi gabungan politik Melayu baru pimpinan Dr Mahathir Mohamad berhasrat untuk bertanding di 120 daripada 222 kerusi parlimen pada PRU15.
Mahathir yang juga Pengerusi GTA berkata, gerakan itu akan bertanding di kerusi majoriti Melayu khususnya kawasan tradisi UMNO.
"Kita jemput orang Melayu saja bukan kerana kita perkauman, (tetapi) kerana usaha kita untuk lawan parti Melayu yang telah menyeleweng iaitu UMNO.
"Sebab itu kita buat parti Melayu untuk menentang parti Melayu," katanya dalam sidang media pengumuman gerakan baru itu di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, petang ini.
Gerakan politik itu ditunjangi oleh Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Putra Bumiputera Perkasa Melayai (Putra) pimpinan veteran politik Ibrahim Ali, serpihan PAS Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata kesemua presiden parti dalam gabungan itu dilantik sebagai Timbalan Pengerusi GTA.
"Calon kita nak letak (bertanding) di 120 kerusi, sudah tentu ada kerusi ditandingi UMNO," tambah Mahathir.
Katanya gerakan itu menjemput orang Melayu yang berasa curiga dengan masa depan mereka untuk menyertai gabungan itu bagi membela nasib orang Melayu.
Jelasnya parti itu adalah bertujuan untuk membela serta menyelesaikan masalah yang dihadapi orang Melayu sejak sekian lama.
"Bukan untuk merampas harta orang bukan Melayu, bukan untuk menyekat orang bukan Melayu cari kejayaan. Tetapi untuk betulkan supaya orang Melayu dapat haknya.
"Kita yakin ramai akan beri sokongan kepada kita.
"Kita tak akan terlibat dengan kluster mahkamah atau rasuah, parti yang ada bersama kita, tiada terpalit dengan rasuah," katanya.
PM ditentukan ‘lepas menang’
Dalam pada itu Mahathir berkata pihaknya akan mendaftarkan GTA secara rasmi dalam masa terdekat ini.
Oleh itu pihaknya berharap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) bermurah hati untuk meluluskan pendaftaran gerakan itu, seperti mana ROS meluluskan permohonan UMNO untuk tangguhkan pemilihan parti.
Ditanya mengenai calon Perdana Menteri gabungan itu, Mahathir berkata ia akan ditentukan selepas PRU15.
"Kita tentukan selepas menang PRU dulu," katanya lagi.
(MalaysiaKini)
Komentāri