top of page
Writer's pictureMalaya Tribune

Dr M cabar Apandi, Najib bagi 'bukti'


Bekas Perdana Menteri, Najib Razak tampil menunjukkan ‘bukti’ arahan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan pada tahun 2003 untuk memberi projek rundingan terus kepada syarikat dikaitkan dengan anak Dr Mahathir Mohamad.


Menjawab dakwaan Pengerusi Pejuang bahawa anaknya tidak pernah "dibantu" ketika dia menjadi Perdana Menteri, Najib sebaliknya berkata anak Mahathir menjadi pemegang saham syarikat terkemuka ketika itu.


"Berderet-deret panjangnya bukti. Tun M (Mahathir) kata dia tak pernah benarkan anak dia berniaga dalam Malaysia masa dia PM walaupun ketiga-tiga anak dia merupakan pemilik terbesar atau pemegang saham yang besar dalam pelbagai syarikat-syarikat tersenarai dalam Bursa Malaysia.


"...Yang banyak berniaga dengan kerajaan masa dia PM4 seperti syarikat Tongkah, MRCB, Kumpulan Hospital Pantai, Opcom, Konsortium Perkapalan, Diperdana Corp, Dataprep, Pelikan, Reliance Pacific Bhd, Artwright dan sebagainya.


"Tapi tak apalah. Saya tunjuk satu bukti surat arahan Kementerian Kewangan kepada syarikat Telekom Malaysia bertarikh 7 Oktober 2003 untuk memberi projek secara rundingan terus bernilai RM214 juta sahaja," kata Najib dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.


Najib turut melampirkan surat Kementerian Kewangan pada hantaran itu.

Terdahulu, FMT melaporkan Mahathir mencabar bekas Peguam Negara, Apandi Ali menunjukkan bukti bahawa anaknya menjadi jutawan ketika dia menjadi Perdana Menteri.


Dia membuat cabaran itu selepas Apandi dilaporkan bertanya, “Dalam dunia ini, mana lagi ada seorang Perdana Menteri yang mana anak-anak mereka menjadi jutawan?”


Susulan itu, Mahathir berkata anaknya tidak dibenarkan menjalankan sebarang urusan dengan kerajaan, apatah lagi menyertai parti kerajaan, ketika beliau menjadi Perdana Menteri.


Pada 11 Februari 2021 Mukhriz Mahathir dilaporkan telah melupuskan sebanyak 24.6 juta saham biasa dalam Opcom Holdings Bhd, melepaskan kedudukannya sebagai pemegang saham utama syarikat itu.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Opcom berkata pelupusan itu dilakukan melalui dua urus niaga perniagaan langsung pada 10 Februari.


Dalam satu kenyataan yang berasingan, isteri Mukhriz, Norzieta Zakaria turut melepaskan pegangan saham utama dalam Opcom.


Ia dibuat selepas syarikat milik Norzieta, M Ocean Capital Sdn Bhd menjual sebanyak 18 juta saham melalui pasaran terbuka pada hari Rabu.

Dalam pada itu, secara sinis Najib meminta "geng petai" - merujuk kepada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) - menjawab isu berkenaan.


"Harap soalan-soalan mudah ini dapat dijawab oleh geng petai (Pejuang).


"Siapa Menteri Kewangan ketika itu? Siapa PM ketika itu? TM (Telekom Malaysia) milik siapa ketika itu? Opcom milik siapa ketika itu?," katanya lagi.


(MalaysiaKini)

Comments


bottom of page