top of page
Writer's pictureMalaya Tribune

Dana UKSB: Dr M dakwa Najib sengaja 'pura-pura bodoh'


Dr Mahathir Mohamad mendakwa bekas perdana menteri Najib Razak sengaja "berpura-pura bodoh" dengan mengaitkan dana dari Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) dengan Ahli Parlimen Langkawi berkenaan.


Dengan bertindak begitu, dakwa Mahathir, Najib dapat terus memperdaya penyokongnya.


Kenyataan Mahathir itu dibuat melalui hantaran terbaru dalam media sosialnya hari ini.


Untuk rekod nama Mahathir disebut salah seorang saksi pendakwaan yang memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi.


Berikut adalah hantaran Mahathir:


Amatlah mengagumkan bagaimana Najib berjaya berpura-pura bodoh dan cuba memutar belit isu berkait saya menerima RM2.6 juta daripada UKSB.


Najib cuba untuk menyamakan dengan isu dia menerima RM2.6 bilion yang masuk ke akaunnya dan mendakwa diberi oleh Raja Arab yang sehingga hari ini tidak wujud atau tampil membuktikan kenyataan tersebut.


Selain itu, dua mahkamah dan empat hakim telah mendapati dia bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd iaitu sebuah anak syarikat 1MDB.

Najib juga sedang dibicarakan di dalam mahkamah berkaitan kes 1MDB di atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB, dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion tersebut.


Kesemua aliran wang tersebut ada paper trail dan digital footprint, dan kesemuanya terkait dengan Najib.


Tak pernah terima duit


Ini berbeza keadaannya dengan kenyataan David Tan dari UKSB di dalam mahkamah, iaitu duit berkenaan diberi melalui anak saudara saya, Rahmat Abu Bakar, dan bukannya kepada saya.


Tidak ada bukti duit masuk akaun saya, atau saya menerima duit itu atau Tan melihat duit itu diserah pada saya.


Yang ada hanyalah kenyataan Tan yang bersandar pula kepada lejarnya yang digelar 'Buku 555'.


Rahmat telah mengeluarkan kenyataan menafikan dia ada menyerahkan apa-apa duit kepada saya.


Rahmat juga menerangkan yang dia ada menerima wang RM1.3 juta tetapi itu adalah imbuhan untuk jawatannya sebagai pengerusi dan penasihat UKSB.


Dia telah meletak jawatan di UKSB tidak lama kemudian dan menyerahkan kembali wang RM1.3 juta itu.


Rahmat juga ada surat dan dokumen berkait dengan apa yang dinyatakannya.


Memang pun saya tidak pernah terima duit tersebut.


Ini sesuatu yang amat mudah difahami dan Najib memang faham.


Dia berpura-pura tidak faham kerana dengan itu dia dapat terus berbohong dan menipu untuk menutup kesalahannya menyamun wang rakyat.


Malangnya, dengan berpura-pura bodoh, Najib dapat terus perbodohkan penyokongnya.


(MalaysiaKini)

Comments


bottom of page