top of page
Writer's pictureMalaya Tribune

Bung, Zizie diarah bela diri tuduhan rasuah Felcra


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isterinya, Zizie Izette Abdul Samad diperintahkan membela diri atas pertuduhan rasuah dan subahat berkait pelaburan Felcra bernilai RM150 juta.


Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob berkata pihak pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pasangan itu.


Bung, 64, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berdepan dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai suapan mendapatkan kelulusan Felcra bagi pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.


Beliau dituduh menerima rasuah dari Madhi melalui Zizie, di cawangan Public Bank Taman Melawati, di sini, antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, pada 12 Jun 2015.


Bung juga berdepan pertuduhan menerima rasuah RM337,500 dari Norhaili, atas nama Zizie bagi perkara sama dan di lokasi sama, pada 19 Jun 2015.


Zizie, 44, berdepan tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya bagi perkara sama dan di lokasi, tarikh dan masa yang sama.


Dalam penghakiman lisan, Rozina berkata, beliau sedar dan berhati-hati bahawa Madhi dan Norhaili memberi keterangan bercanggah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mahkamah.


“Selepas pertimbangan wajar, saya menerima bahagian lain keterangan yang diberikan mereka,” katanya.


Hakim berkata, beliau juga mengambil kira keterangan saksi pendakwaan lain dalam memutuskan Bung dan Zizie membela diri.


“Justeru, pihak pendakwaan sudah membuktikan semua bahan tuduhan untuk mewujudkan kes prima facie,” katanya.


Rozina berkata, anggapan mengikut Seksyen 50 Akta SPRM telah digunakan terhadap Bung bahawa beliau menerima wang itu sebagai suapan.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How, berkata Bung mendapat kelulusan daripada kerajaan melabur RM150 juta dalam unit amanah, namun Zizie yang memperoleh wang.


Madhi dan Norhaili dianggap sebagai saksi belot susulan memberi keterangan tidak konsisten kepada SPRM dan mahkamah.


Dalam pada itu, pihak pembelaan mengambil pendirian bahawa kedua-dua mereka menipu dalam mahkamah dan tidak boleh dipercayai.


Law berkata, Madhi dan Norhaili sudah diperiksa balas berhubung kenyataan bercanggah dibuat.


Walaupun pihak pembelaan mahu kesemua keterangan mereka ditolak, katanya, ada beberapa kunci keterangan yang boleh dipercayai untuk meminta kedua-dua tertuduh membela diri.

Bung dan Zizie memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah.


Peguam Bung, M Athimulan, berkata anak guamnya dan tujuh lagi akan memberi keterangan.


Peguam M Kumaraendran, yang mewakili Zizie, berkata anak guamnya akan memberi keterangan, termasuk saksi lain.


Pihak yang terbabit bertemu dengan Rozina dalam kamarnya untuk menetapkan tarikh pendengaran.


Pihak pembelaan akan memulakan kes pada 23 September


(FMT).

7 views0 comments

Comments


bottom of page