top of page
Writer's pictureMalaya Tribune

Bubar awal Oktober, PRU15 boleh buat sebelum tengkujuh – Asyraf


PETALING JAYA: Pemuda UMNO mencadangkan Dewan Rakyat dibubarkan pada awal Oktober bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan sebelum musim tengkujuh.


Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki berkata, jika dibubarkan awal Oktober, PRU15 dapat dilaksanakan pada awal November iaitu sebelum tiba musim tengkujuh.


“Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan bahawa banjir besar bakal berlaku pada penghujung November 2022.


“Maka ramailah yang mendesak terutama pembangkang supaya PRU15 ditangguhkan kerana membahayakan nyawa rakyat. Saya juga bersetuju bahawa PRU15 wajar ditangguhkan jika banjir benar-benar berlaku.


“Persoalannya bolehkah PRU15 diadakan sebelum musim banjir? Jika ramalan JMM ini dijadikan sandaran, maka PRU15 masih boleh diadakan sebelum banjir besar hujung November.


“Ramalan JMM (yang menjadi nas utama masa kini) boleh menjadi landasan yang paling kuat supaya Dewan boleh dibubar awal Oktober terutama 7 sehingga 10 Oktober 2022,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.


Asyraf Wajdi berkata, jika dibubarkan pada awal Oktober 2022, maka PRU15 dapat dan sempat dibuat pada awal November 2022 , iaitu dua hingga tiga minggu sebelum ramalan hujan lebat.


“Apakah SPR mampu buat PRU dalam masa empat minggu selepas bubar? Kalau ikut rekod PRU14 dahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mampu dan boleh buat PRU dalam masa sebulan selepas bubar.


“Rekod PRU14 ialah Parlimen dibubarkan pada 7 April 2018 dan SPR buat PRU14 pada 8 Mei 2018 (dalam masa kurang empat minggu).


“Makanya, berdasarkan kepada rekod kerja SPR pada PRU14 dan mengambil kira ramalan banjir JMM yang menjadi nas dan dalil utama masa kini, membuktikan kita masih sempat dan dapat mengadakan PRU15 sebelum musim banjir tahun ini jika dewan dibubar awal Oktober,” katanya.


(Utusan)

Comments


bottom of page