top of page
Writer's pictureMalaya Tribune

Bilangan pesakit buah pinggang di Malaysia membimbangkan - KJ.

Updated: Jul 21, 2022


Bilangan pesakit buah pinggang di negara ini agak membimbangkan dengan data terkini Malaysian Dialysis and Transplant Registry menunjukkan terdapat 49,111 pesakit yang menjalani dialisis di Malaysia dengan kebanyakan adalah secara hemodialisis, manakala selebihnya peritoneal dialisis.


Jumlah pesakit baharu buah pinggang pula didaftarkan sekitar 8,000 setiap tahun sementara bilangan pesakit yang sedang menunggu transplan derma buah pinggang kini seramai 4,722 orang.


Memandangkan pemindahan organ merupakan rawatan terbaik buat pesakit buah pinggang tahap akhir dan jumlah penderma pula tidak mencukupi, KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA (KKM) akan memperhebatkan kempen pendermaan organ dan mengkaji agar peranan Pusat Sumber Transplan Nasional diperkukuhkan.


Pendaftaran ikrar derma organ juga boleh diwujudkan semula bagi memudahkan orang awam mendaftar sebagai penderma organ.


KKM juga akan mengadakan kempen bagi menggalakkan ujian Anggaran Kadar Penurasan Glomerular (eGFR) di kalangan pesakit yang berpotensi untuk mendapat penyakit buah pinggang tahap kronik khususnya seperti pesakit- pesakit darah tinggi dan kencing manis bagi menjadikan mereka lebih cakna tentang tahap kesihatan buah pinggang masing-masing.


Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia - UKM pada 2017 dalam Kidney International Report menunjukkan perbelanjaan rawatan penyakit buah pinggang tahap akhir atau end stage renal disease di Malaysia telah meningkat dengan begitu pantas iaitu sebanyak 94% untuk tempoh hanya 7 tahun.


Pada tahun 2010, perbelanjaan sektor awam dianggarkan sebanyak RM572 juta dan ia meningkat kepada RM1.12 bilion pada tahun 2016.

Sementara itu, petang tadi saya menghadiri Majlis Perasmian Duta Ginjal dan Program Pendidikan Pra-Dialisis yang dianjurkan secara bersama oleh Medtweetmy dan www.mybuahpinggang.com.


Terima kasih kepada pihak penganjur atas usaha berterusan mendidik masyarakat khususnya tentang kesihatan buah pinggang.


(FB Khairy Jamaluddin)

25 views0 comments

Comments


bottom of page