top of page
Writer's pictureMalaya Tribune

Bersatu Johor kecewa Tengku Zafrul pilih BN


Keputusan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz untuk bergerak aktif bersama BN bagi menghadapi PRU15 mengecewakan Bersatu Johor.


Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri berkata Tengku Zafrul disaran menyertai Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin yang jelas dan ikhlas berjuang membanteras rasuah serta pembharuan landskap politik.


"Bersatu adalah wadah perjuangan politik yang paling sesuai untuk Menteri Kewangan itu apatah lagi Muhyiddin yang mencadangkan beliau dilantik menjadi Senator dan seterusnya mengisi jawatan tersebut.

"Bagi Bersatu, kami tiada masalah dengan niat Tengku Zafrul menyertai politik secara aktif untuk meneruskan pembaharuan fiskal negara tetapi kami yakin ia hanya sia-sia jika beliau berada dalam parti yang salah.


"Kami yakin, matlamat pembaharuan fiskal itu hanya dapat direalisasi dan disempurnakan menerusi visi induk pembaharuan landskap politik serta pentadbiran negara yang diperjuangkan oleh Muhyiddin bersama parti yang bergabung dalam Perikatan Nasional (PN)," kata Solihan dalam kenyataan, hari ini.


Pada Mac 2020 Tengku Zafrul yang ketika itu ketua eksekutif CIMB Group Holdings Berhad (CIMB), dilantik sebagai menteri kewangan, dalam Kabinet kerajaan pimpinan Muhyiddin.


Untuk rekod, Tengku Zafrul merupakan ahli UMNO Lembah Pantai sebelum menukar keahliaan ke Kuala Selangor.


Pada 31 Julai lalu, Tengku Zafrul dilantik sebagai Bendahari BN Selangor dan bakal bergerak aktif di Umno Kuala Selangor.


Sementara itu, Solihan juga berkata jika Tengku Zafrul salah memilih parti, ia akan berkesudahan dengan "hasrat yang kecundang" kerana pemimpin UMNO pasti tidak mengizinkan pembaharuan dilakukan untuk menggugat mereka.


"Jadi, jika dia mahu menyertai UMNO, kita semua tahu parti itu diterajui kepemimpinan yang ketirisan integriti malah ada yang telah didapati bersalah oleh mahkamah kerana terlibat dengan kes rasuah serta melakukan penyelewengan.


"Pada masa sama, keputusan Tengku Zafrul menyertai UMNO hanya akan mengecewakan rakyat dan perasaan itu akan dizahirkan oleh pengundi pada PRU15 kelak dengan tidak mengundi di kawasan dia bertanding sama ada kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya.


(MalaysiaKini)

Comments


bottom of page