KUALA LUMPUR: Semua parti perlu melibatkan lebih banyak wanita untuk dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Rina Harun berkata, inilah masanya untuk meningkatkan calon wanita dalam Dewan Rakyat, tidak kisah bagi pihak kerajaan atau pembangkang.
“14 peratus sahaja calon wanita yang kita ada di Dewan Rakyat sekarang, pada PRU akan datang, bukan setakat calon sahaja, kita kena pastikan kemenangan.
“Masyarakat harus memberi peluang kepada calon wanita dipilih untuk memimpin, kalau setakat calon sahaja dan tidak dipilih kita tak dapat lihat idea dan kepimpinan mereka,” katanya semasa Majilis Pelancaran World Women Leadership Summit 2023, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, tambah Rina, pihaknya akan akan memanggil kepemimpinan semua parti untuk membincangkan kepentingan lebih ramai wanita sebagai calon PRU15.
“Satu sesi akan diadakan di Universiti Kebangsan Malaysia (UKM) pada minggu hadapan bagi membincangkan isu ini demi wanita dan keperluan negara.
“Penglibatan wanita dalam politik adalah paling rendah dalam Indeks Jurang Gender Global (MGGI) 2022, yang merekodkan jurang paling ketara apabila Malaysia berada di kedudukan 123 daripada 146 negara, berbanding dengan skor 0.102 mata,” ujarnya.
Beliau memberitahu, jurang gender yang ketara dalam kepemimpinan, politik dan pembuatan merupakan satu indikator yang perlu diberi perhatian serius.
“Kadar enrolmen wanita dalam semua peringkat pendidikan sama ada rendah, menengah atau tertiari adalah tinggi tetapi bagi aspek kadar penyertaan dalam pasaran buruh adalah rendah.
“Senario ini menunjukkan ramai wanita di Malaysia yang berpendidikan tinggi dan berpotensi untuk memegang jawatan tinggi dalam sesebuah organisasi,” katanya.
Beliau berkata, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan aktivis semua boleh mendesak tetapi Dewan Rakyat yang membuat keputusan.
(Utusan)
Comments