KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyalurkan Bayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) membabitkan 8.6 juta penerima mulai 28 Mac ini dengan peruntukan berjumlah RM2 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata seramai 8.6 juta penerima akan menerima bayaran sebanyak RM100 hingga RM300 berdasarkan kelayakan masing-masing.
Mengulas lanjut, katanya pembayaran itu merangkumi empat juta isi rumah, 1.2 juta warga emas, sama ada bujang atau tiada pasangan dan 3.4 juta individu bujang.
"BKM adalah sebuah inisiatif bantuan tunai langsung yang diumumkan di dalam Belanjawan 2022 bagi memanfaatkan golongan B40.
"Pembayaran ini juga bagi meringankan beban kewangan rakyat terutamanya dalam menyambut bulan Ramadan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, bagi penerima membabitkan isi rumah, warga emas dan individu bujang, pembayaran akan terus dikreditkan ke akaun bank masing-masing mulai 28 Mac hingga 8 April ini.
Beliau berkata, bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank termasuk di Sabah dan Sarawak, bantuan disalurkan melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN), 30 Mac ini.
"Pihak BSN akan mengeluarkan panduan prosedur operasi standard (SOP) dari masa ke semasa," katanya.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan membuka permohonan rayuan mulai 2 Mei ini selama sebulan bagi memastikan program BKM disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak.
Katanya, proses ini adalah bagi mempertimbangkan semula permohonan yang tidak diluluskan, dengan memberi ruang untuk mengemukakan rayuan berserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
"Kerajaan sentiasa peka dengan keperluan semasa dan akan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutamanya kumpulan sasar," katanya.
(Berita Harian)
Comments