Bekas Peguam Negara Apandi Ali dipanggil ke Bukit Aman esok untuk diambil keterangan berhubung 1MDB.
Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata pihaknya akan merekod keterangan bekas Peguam Negara itu pada 2.30 petang esok (1 Ogos).
“Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 217 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, polis mengumumkan melancarkan siasatan terhadap Apandi berhubung skandal 1MDB dan SRC International.
Ini susulan laporan polis yang dibuat Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dua hari lalu, yang mendakwa Apandi menyalahgunakan kuasanya untuk menutup siasatan skandal tersebut dengan niat membersihkan bekas Perdana Menteri Najib Razak.
Seksyen 217 Kanun Keseksaan berkenaan kesalahan penjawat awam yang mengingkari arahan undang-undang dengan niat hendak menyelamatkan orang daripada seksaan, atau harta daripada dirampas. Ia membawa kesalahan penjara tidak lebih dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
(MalaysiaKini)
Comments