top of page
Writer's pictureMalaya Tribune

5 Lelaki Ditahan, Mercun RM4.17 Juta Dirampas.

Updated: Jul 21, 2022


KUALA LUMPUR - Lima lelaki ditahan bersama pelbagai jenis mercun dianggarkan bernilai RM4.17 juta yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di Taman Kepong di sini 23 Mac lalu.


Kesemua warga tempatan berusia antara 21 hingga 51 tahun terbabit ditahan dalam serbuan di sebuah gudang dan rumah, yang dilakukan sepasukan polis cawangan Perisikan dan Siasatan Khas serta dibantu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.


Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner (ACP) Beh Eng Lai berkata, siasatan awal mendapati, sindiket tersebut menjadikan kedua-dua premis sebagai tempat penyimpanan sementara sebelum bahan itu dijual di sekitar Lembah Klang.

“Serbuan pertama telah dilakukan di sebuah gudang sekitar Kepong yang berjaya menemui 712 kotak mercun dan bunga api.


“Susulan serbuan pertama, polis telah pergi ke sebuah rumah teres dua tingkat di sekitar Taman Kepong dan berjaya merampas 347 kotak serta 35 guni berisi mercun dan bunga api,” katanya ketika sidang media di stor barang kes Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.


Beliau berkata, polis turut menyita pelbagai aset sindiket termasuk wang tunai berjumlah RM12,900, dua unit komputer dan enam buah telefon bimbit pelbagai jenama.


Katanya jumlah keseluruhan rampasan terdiri daripada 1,059 kotak dan 35 guni mercun serta barang sitaan yang bernilai kira-kira RM4.17 juta.


Mengulas lanjut, Beh Eng Lai berkata, sindiket terbabit mendapatkan bekalan untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang.


“Siasatan mendapati, kesemua suspek dipercayai terbabit dengan aktiviti mengedar mercun dan bunga api haram sejak dua tahun.


“Bekalan bagi kegiatan ini dipercayai diseludup melalui laluan perairan melalui kapal kontena dari negara China,”ujarnya.

Tambah beliau, semakan rekod jenayah mendapati dua suspek turut mempunyai rekod kesalahan lampau.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967. Suspek direman selama empat hari bermula pada 24hingga 27 Mac bagi membantu siasatan.


“Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi semua peraturan yang ditetapkan kerajaan dan tidak menjalankan perniagaan tanpa permit sah serta menjual barangan terlarang sama ada secara terbuka atau tertutup,” katanya.


(Getaran)

3 views0 comments

Komentáre


bottom of page