SEREMBAN : UMNO berharap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dapat memberikan keputusan hari ini berhubung permohonan parti itu untuk meminda perlembagaannya.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO telah menulis surat kepada RoS yang memohon jasa baik supaya keputusan pindaan perlembagaan parti itu dapat diketahui sebelum 31 Julai ini.
Menurut beliau, ia supaya UMNO dapat melakukan persiapan sebaiknya jika permohonan itu tidak diluluskan.
“UMNO telah tulis surat yang meminta jasa baik RoS kepada parti untuk berikan keputusan ya ataupun tidak sehingga 31 Julai.
“Kami perlukan jawapan, jadi kami tunggu tetapi 31 Julai adalah hari minggu, kalau boleh hari ini kami mahu dapatkan surat jawapan.
“Kami tidak mendesak RoS untuk luluskan ataupun tidak, tetapi berikan jawapan awal supaya kami dapat siapkan parti kerana penggal 18 bulan akan berakhir hujung tahun ini,” katanya.
Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian selepas mengadakan pertemuan antara kepemimpinan BN di ibu pejabat bersama pengerusi parti-parti komponen BN dan Friends of BN, jawatankuasa biro politik parti-parti dan penyelaras BN peringkat Parlimen di Negeri Sembilan di sini hari ini.
Jelas Mohamad lagi, jika RoS tidak meluluskan permohonan UMNO untuk menangguhkan pemilihan parti sehingga enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU), UMNO tentunya perlu membuat persiapan untuk mengadakan mesyuarat termasuk mesyuarat membabitkan 22,000 cawangannya.
“UMNO parti yang besar, ada 22,000 cawangan bukan mudah untuk gerakkan mesyuarat dalam satu hari. UMNO perlu masa dan tempoh lebih awal untuk RoS respon.
“Lulus atau tidak terpulang kepada RoS tetapi bagi UMNO, kami mahu keputusan untuk kami uruskan hal ehwal parti.
Jika tidak lulus, dalam mesyuarat cawangan-cawangan akan ada agenda pemilihan, jika lulus tiadalah agenda itu,” katanya lagi.
(UtusanMalaysia)
Comments