top of page
Writer's pictureMalaya Tribune

UMNO-BN mesti keluar belenggu kerjasama yang lemah.


Kegagalan usul yang dibawa oleh Kerajaan untuk melanjutkan tempoh tahanan di bawah seksyen 4(5) SOSMA 2012 adalah sesuatu yang mengejutkan.


Ini kerana, jika kita merujuk kepada Memorandum Persefahaman antara pihak Kerajaan (Perikatan Nasional) dan pembangkang (Pakatan Harapan), Perkara 3 dengan jelas menegaskan bahawa pihak pembangkang hendaklah bersetuju, atau berkecuali, dalam apa-apa usul yang dibawa oleh Kerajaan. Ia sebagai salah satu langkah yang diambil bagi mewujudkan kestabilan politik dalam pentadbiran semasa.


Namun, apabila usul yang dibentangkan kali ini gagal akibat tidak mendapat sokongan pihak pembangkang, adalah wajar untuk kita semua menyimpulkan yang mereka telah memungkiri janji, melanggar persetujuan dan mengabaikan sama sekali komitmen mereka sebelum ini.


Keadaan ini mencerminkan beberapa perkara yang mesti dipandang serius.


Pertama, pembangkang sebenarnya tidak berminat untuk mewujudkan kestabilan politik. Malah, PH sebenarnya sangat cenderung untuk melupakan janji dan komitmen mereka dengan mudah.


Pada pandangan saya, tidak ada gunanya untuk kita terus berpegang pada janji mereka.


Kedua, kerajaan mesti mempunyai majoriti tersendiri.


Majoriti yang kuat dan tidak mengharapkan ihsan serta budi bicara pembangkang. Kerajaan seperti dalam kedudukan sekarang tidak akan dihormati, tidak stabil dan tidak akan berupaya untuk mengemuka dan menjayakan dasar yang baik dengan lancar.


Pada saya, kedua-dua perkara ini adalah bukti jelas bahawa Kerajaan sedia ada sudah tidak dihormati. MoU antara Kerajaan dan Pembangkang juga nampaknya sudah tidak lebih dari sekadar janji di atas kertas.


Jika ditanya pendirian saya dan parti, saya kira semuanya sudah sangat jelas. Malah, ketetapan dan pendirian kita semasa PAU tempoh hari adalah sesuatu yang rasional dan berasas.


Saya harap, masyarakat di luar sana dapat melihat betapa rapuh dan berisikonya bentuk kerajaan yang ada. Malah, ia adalah pengajaran yang besar kepada parti politik seperti UMNO dan BN.


Semua ini hanya menguatkan semangat dan kepercayaan saya betapa UMNO harus bangkit kembali sebagai kuasa politik yang kuat, besar dan terhormat. Kita mesti berupaya membawa dasar dan usul yang baik tanpa perlu mengharapkan sokongan pihak lawan yang suka menangguk di air keruh.


Yang pasti, apa yang berlaku ini (kegagalan usul SOSMA 2012) adalah sesuatu yang memalukan Kerajaan. Ia adalah aib yang menuntut kita untuk mengukuhkan diri dengan cara yang strategik dan segera.


(FB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi)

3 views0 comments

Comments


bottom of page