top of page
Writer's pictureMalaya Tribune

SPRM akan panggil Tun M dan semua nama dalam buku lejar UKSB


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil semua individu yang dinamakan dalam buku lejar rahsia kontroversi Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Ahli parlimen Santubong itu berkata siasatan oleh badan antirasuah itu akan menentukan "sama ada pemberian atau penerimaan wang adalah berunsur rasuah ataupun tidak."


"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima beberapa aduan terhadap individu-individu terlibat yang tersenarai dalam satu lejar seperti dikemukakan di mahkamah baru-baru ini.

"SPRM akan memanggil semua nama yang disebutkan di dalam lejar berkenaan," katanya dalam jawapan balas parlimen terhadap soalan Khoo Poay Tiong (Harapan-Kota Melaka).

Khoo menyoal mengapa SPRM tidak menyiasat nama-nama yang disebut dalam lejar Kirana, iaitu bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican, Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, bekas ketua menteri Sabah Shafie Apdal dan bekas menteri luar Anifah Aman.

"Apakah status terkini siasatan terhadap penama-penama tersebut," soal Khoo.


Terdahulu nama Bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad juga didakwa menerima RM2.6 juta dari UKSB melalui anak saudara beliau.

Tokoh-tokoh terkemuka ini dipetik namanya apabila saksi memberi keterangan semasa perbicaraan rasuah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi membabitkan sistem pemberian visa asing (VLN) di Mahkamah Tinggi di Shah Alam, Selangor sejak Mei.


Lejar rahsia Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), yang mengandungi nama kod dan butiran didakwa pembayaran sogokan yang dibuat oleh syarikat itu kepada beberapa individu antara 2014 dan 2018, telah dikemukakan di mahkamah sebagai bukti.


SPRM telahpun berkata akan membuka kertas siasatan berhubung perkara ini selepas keterangan itu.


Namun, persoalan telah dibangkitkan mengapa agensi itu tidak berbuat demikian lebih awal kerana bukti dan saksi telah disediakan oleh SPRM.


(Malaysia Kini)

Comments


bottom of page