UMNO setakat ini masih belum menerima sebarang notis daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung permohonan untuk meminda perlembagaan parti itu.
Ia selepas lebih 10 hari setelah UMNO menyerahkan dokumen tambahan yang diminta ROS untuk tujuan itu.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung UMNO Ahmad Maslan hari ini.
"Belum (menerima notis ROS)," katanya ringkas kepada Malaysiakini melalui Whatsapp.
"Bila-bila masa mereka (ROS) akan jawab," katanya lagi.
Pada 17 Julai lalu, Ahmad dilaporkan berkata pihaknya memberi masa "seminggu atau dua minggu” kepada ROS untuk meneliti dokumen tambahan yang diberikan bagi melancarkan permohonan berkenaan.
Dia juga berkata perkara itu tidak seharusnya mengambil masa lama memandangkan UMNO sudah mengikut segala prosedur yang diperlukan.
Pindaan perlembagaan itu bagi membolehkan UMNO menangguhkan pemilihan parti sehingga enam bulan selepas pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU).
(MalaysiaKini)
Comments