KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan mencadangkan supaya ahli Parlimen menandatangani perjanjian dengan parti politik sebelum bertanding pada pilihan raya untuk memulangkan wang RM200,000 jika mahu lompat parti.
Bayaran tersebut bertujuan supaya ahli Dewan Rakyat membuat keputusan dengan wajar sebelum melompat parti.
Beliau mencadangkan demikian dalam usul perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan mengenai peruntukan ahli Dewan Rakyat bertukar parti hari ini.
“Saya pernah mencadangkan jika lompat parti berlaku, mereka tidak dibenarkan bertanding dalam pilihan raya kecil, tetapi apa yang kita nak pinda ini akan membenarkan yang melompat itu bertanding semula.
“Perkara itu tidak wajar kerana kita perlu menghukum mereka yang melompat. Maka, kita tidak sepatutnya membenarkan mereka bertanding pada pilihan raya,” katanya semasa perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, Ahmad bercadang, undang-undang anti lompat parti turut diperuntukkan kepada ahli Dewan Negara kerana mereka dipilih oleh ketua-ketua parti politik atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Contohnya, setelah mereka dari parti UMNO menjadi ahli Dewan Negara kemudian bertukar parti, kita hendaklah menggubal untuk ahli Dewan Negara juga bukan hanya untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Dewan Rakyat,” katanya.
(Utusan Malaysia)
Comments