Ahli Parlimen Bukit Gantang dari Bersatu, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang merupakan salah seorang daripada 11 wakil rakyat yang tidak mengundi rang undang-undang (RUU) antilompat parti semalam tidak hadir ke Dewan Rakyat sebagai tanda protes.
Menurut laporan Free Malaysia Today semalam, alasan Syed Abu Husin berbuat demikian kerana merasakan bahawa RUU itu sepatutnya dibentangkan selepas pilihan raya umum (PRU), memandangkan kerajaan sedia ada diwakili oleh mereka yang telah melompat ke parti lain.
“Kerajaan yang kita ada yang mewujudkan lompat parti. Perdana Menteri pun dipilih daripada mereka yang bertukar parti.
“Saya tidak menghadiri persidangan kerana tidak bersetuju dengan semua ini,” katanya.
Dia berkata, wakil rakyat sepatutnya meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membenarkan rakyat memilih secara langsung calon Perdana Menteri mereka, kerana ia membolehkan penubuhan kerajaan yang kuat dan lebih stabil.
“Ini kali pertama (lompat parti besar-besaran) berlaku. Kita boleh menunggu sehingga pilihan raya akan datang (untuk bentang RUU itu),” katanya.
Syed Abu Hussin meninggalkan UMNO pada 2018 dan menjadi ahli parlimen bebas sebelum menyertai Bersatu pada 2020 selepas Perikatan Nasional mengambil alih pentadbiran negara.
Dewan Rakyat semalam meluluskan pindaan perlembagaan berhubung tindakan melompat parti, menerusi RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti.
Ia diluluskan untuk bacaan ketiga walaupun terdapat ahli parlimen yang berpendapat ia tidak bersifat menyeluruh berhubung isu berkenaan.
RUU itu diluluskan menerusi undi belah bahagi dengan 209 ahli parlimen mengundi menyokong dan tiada menentang, manakala 11 orang tidak hadir.
(MalaysiaKini)
Comentarios