top of page
Writer's pictureMalaya Tribune

Mahkamah AS gagal lihat resit dan gambar asli pembelian Rosmah Mansor.


NEW YORK - Juri dalam perbicaraan kes bekas ketua pelaburan perbankan Goldman Sachs di Malaysia, Roger Ng didedahkan mengenai barang kemas yang dibeli dengan wang yang didakwa dicuri daripada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mahkamah Persekutuan Brooklyn di New York, Amerika Syarikat (AS) didedahkan pada Rabu dimana dakwaan itu turut mengaitkan penglibatan Datin Seri Rosmah Mansor yang merupakan isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa membeli kalung berlian merah jambu bernilai AS$23 juta (RM97.2 juta) dihasilkan Lorraine Schwartz.


Schwartz adalah pereka barang kemas untuk selebriti seperti Beyonce, Adele dan Blake Lively dikatakan mungkin akan menjadi saksi dalam kes tersebut.

Tetapi, dia sebaliknya hanya memberi kenyataan yang telah dimasukkan pendakwa raya sebagai rekod rasmi mahkamah.

Menurut rekod kenyataan yang didedahkan oleh pendakwaraya, ketika urus niaga itu, Jho Low didakwa menghubungi Schwartz pada Jun 2013 dan meminta wanita tersebut mereka kalung berlian merah jambu dengan permata berbentuk hati khas untuk Rosmah.

Menurut kenyataan itu, Rosmah didakwa telah meminta berlian 18 karat, namun dia hanya mempunyai berlian merah jambu 22 karat dan urus niaga akhirnya dicapai untuk pembelian batu permata bersaiz lebih besar.


Schwartz kemudiannya dikatakan menyerahkan sendiri kalung tersebut kepada Rosmah ketika isteri bekas perdana menteri itu bersantai di atas sebuah kapal layar bersama Low di luar pantai Monaco.

Bagaimanapun pihak juri tidak melihat gambar atau kalung yang sebenar. Juri hanya diberikan bukti resit pembelian yang tidak asli sebagai bahan bukti sahaja.

Ketika pihak pendakwaan menggulung kes tersebut, ia juga mengemukakan kepada para juri bagaimana berbilion dolar dialihkan daripada tiga transaksi bon 1MDB berjumlah AS$6.5 bilion (RM27.5 bilion) oleh Jho Low yang digunakan untuk membeli barangan mewah.


Low turut didakwa mengalihkan dana daripada 1MDB kepada teman rapatnya, Riza Aziz iaitu anak tiri Najib untuk membantunya menerbitkan filem The Wolf of Wall Street yang dibintangi Leonardo DiCaprio.

Para juri ditunjukkan gambar sarung plastik DVD filem tersebut dan tangkapan layar yang memaparkan ucapan terima kasih kepada Low atas 'sokongannya' pada bahagian akhir filem berkenaan.

Pada 2018, syarikat penerbitan, Red Granite milik Riza pernah bersetuju untuk membayar AS$60 juta (RM253 juta) untuk menyelesaikan tuntutan dikemukakan Jabatan Kehakiman AS yang menuduh dia membiayai filem itu dengan wang dicuri daripada 1MDB.

Pendakwa raya mendakwa sebuah entiti yang dikawal Jho Low juga menggunakan dana 1MDB untuk membeli lima karya seni bernilai AS$58.3 juta (RM246.4 juta) daripada rumah lelongan Christie termasuk hasil lukisan Jean-Micel Basquiat digelar 'Dustheads' yang bernilai AS$51.8 juta (RM218.9 juta).

Bukti pembelian ditunjukkan menerusi invois yang dikemukakan kepada juri selain lakaran kecil lukisan 'Dustheads' tersebut.

Difahamkan, Roger Ng menjadi satu-satunya bekas pegawai Goldman yang dibicarakan selepas didakwa bersubahat dengan bekas bosnya, Tim Leissner untuk membantu Jho Low menyeleweng berbilion dolar daripada tiga urus niaga bon yang dilakukan bank tersebut untuk dana kekayaan Malaysia.

Jho Low juga turut didakwa bersama Roger Ng dalam kes penipuan tersebut.

Leissner bagaimanapun mengaku bersalah dan menjadi saksi utama kes berkenaan.

Sehingga kini, AS belum mengemukakan sebarang pendakwaan ke atas Najib atau Rosmah kerana tiada bukti untuk didakwa.

(Agensi)

7 views0 comments

Comments


bottom of page