KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos membayar ganti rugi RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung kenyataan berbaur fitnah berkaitan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd. Arief Emran Arifin membenarkan tuntutan saman fitnah Teresa terhadap Jamal yang difailkan lima tahun lalu setelah berpuas hati defendan gagal membuktikan pembelaannya.
Mohd. Arief Emran turut memerintahkan Jamal yang tidak hadir ke mahkamah, membayar ganti rugi dalam tempoh 14 hari.
Mahkamah juga mengarahkan Jamal membayar kos RM50,000 serta mengeluarkan perintah injunksi yang melarang defendan atau ejennya daripada mengulangi dakwaan itu.
Sementara itu, peguam Datuk S. N. Nair yang mewakili Teresa memberitahu wakil media, ganti rugi RM300,000 itu merupakan ganti rugi keseluruhan meliputi ganti rugi am, teruk dan teladan.
Ketika mahkamah bersidang, Nair memohon ganti rugi sebanyak RM800,000.
Dalam pada itu, Teresa melahirkan kegembiraan terhadap keputusan mahkamah yang memihak kepadanya dan berharap Jamal tidak mengulangi dakwaan pada masa akan datang.
Pada 8 Jun lalu, Teresa selaku plaintif menutup kesnya selepas mengemukakan keterangan dua saksi termasuk dirinya dan wartawan Malaysiakini, Annabelle Lee.
Jamal yang ketika itu tidak diwakili peguam tidak mengemukakan saksi defendan mahupun menyoal balas saksi-saksi plaintif pada perbicaraan tersebut.
Ketika itu, Jamal berkali-kali memohon penangguhan atas alasan beliau memerlukan masa untuk melantik peguam baharu mewakilinya.
Jamal memaklumkan, beliau tidak yakin dengan khidmat peguam terdahulu dan menyifatkannya tidak bersungguh-sungguh ekoran pembelaannya ditolak oleh mahkamah.
Ketua UMNO Sungai Besar itu menjelaskan, beliau mempunyai hak untuk mendapat khidmat peguam yang lebih baik selepas pembelaannya ditolak.
“Saya harap mahkamah benar saya lantik peguam, saya tidak faham prosedur jadi tidak wajar saya jawab soalan mahkamah, saya bukan peguam,” jelasnya.
Bagaimanapun, Mohd. Arief Emran tidak membenarkan penangguhan atas alasan kes itu sudah mengambil masa lima tahun sejak saman difailkan.
Teresa memfailkan saman pada 6 April 2017 dengan mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berkaitan dana Yawas dalam sidang media pada 8 Mac 2017.
Dalam pernyataan tuntutannya, Teresa mendakwa kenyataan berkenaan telah disiarkan oleh media cetak dan elektronik termasuk dalam laman sosial Facebook milik Jamal.
Teresa mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kegunaan sendiri dan seorang yang tidak beretika.
Beliau menuntut ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau mana-mana ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah berkenaan.
(Utusan)
Комментарии